Selasa, 23 Julai 2019 | 9:15pm
Kejohanan hoki dalam dewan yang kompetitif wajar dianjurkan di negara ini. Gambar kecil, Megat Azrafiq Termizi. - Arkib NSTP

Pemain perlu aksi hoki dalam dewan kompetitif

KUALA LUMPUR: Kejohanan hoki dalam dewan yang kompetitif wajar dianjurkan di negara ini dalam memastikan barisan pemain mempunyai kalendar padat sepanjang tahun.

Demikian pandangan penolong jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Megat Azrafiq Termizi yang mengakui sebenarnya Malaysia mempunyai jumlah pemain cukup besar.

Justeru, bekas pertahanan negara itu berkata penekanan perlu diberikan terhadap cadangan ketua jurulatih wanita, Yahya Atan bahawa Malaysia perlu mempunyai program hoki dalam dewan yang tersusun dan lebih konsisten.

"Sudah semestinya saya mengharapkan ada kejohanan kompetitif untuk hoki dalam dewan di sini kerana kita mempunyai jumlah pemain yang ramai. 

"Jadi, kalau mereka tak ada platform beraksi dalam acara hoki padang, sekurang-kurangnya mereka dapat beraksi bersama hoki dalam dewan.

"Kalau kita menumpukan kepada hoki dalam dewan, tak mustahil juga untuk pasukan negara layak ke Piala Dunia dan bersaing dengan pasukan kuasa besar lain," katanya.

Menerusi laporan BH Sukan semalam, Yahya berpendapat sudah tiba masanya untuk Malaysia melaksanakan program hoki dalam dewan yang lebih tersusun.

Ini kerana menerusi sukan hoki dalam dewan, Malaysia dilihat berpeluang cerah melakar kejayaan bermakna selain hoki padang.

Malah, ia terbukti pada saingan Piala Asia berakhir di Thailand, Ahad lalu apabila skuad lelaki dan wanita negara masing-masing masih mampu meraih tempat ketiga dan keempat meskipun baru beberapa bulan dibentuk untuk temasya Sukan SEA Filipina.

Sebelum ini, program bagi skuad hoki dalam dewan negara dihentikan seketika selepas berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana kekurangan aksi kompetitif selain mengambil kira faktor kewangan.

Berita Harian X