Isnin, 8 Julai 2019 | 9:50pm
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim (kiri) bersama Alex Yoong pada Pra Pelancaran Kejohanan Ski Air Dunia 2019. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Putrajaya tuan rumah Kejohanan Dunia Ski Air 2019

PUTRAJAYA: Seramai 167 atlet daripada 33 negara bakal bertanding dalam Kejohanan Dunia Ski Air 2019 yang akan berlangsung di Pusat Sukan Air, Presint 6 di sini, bermula 13 hingga 19 Ogos ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pertandingan itu adalah kali ketiga dianjurkan PPj secara kerjasama dengan Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF).

Menurutnya, pemilihan lokasi penganjuran pusat sukan ini bertepatan dengan kemudahan lengkap bertaraf antarabangsa dan sesuai untuk penganjuran pelbagai acara sukan air.

"Penganjuran kejohanan ini selaras hasrat Kerajaan untuk mempelbagai dan mengembangkan acara sukan air di peringkat antarabangsa dan tempatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran Kejohanan Dunia Ski Air 2019 di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim dan Timbalan Presiden Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF), Alex Yoong.

Kejohanan Dunia Ski Air pertama di Putrajaya diadakan pada tahun 2017 menarik lebih 2.6 juta kehadiran pengunjung dan meningkat pada tahun 2018 sebanyak 3.3 juta pengunjung.

Aminuddin berkata, acara sukan air ini boleh dijadikan sebagai produk pelancongan dan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Katanya, beberapa program besar pernah diadakan di sini antaranya Kejohanan Asia IWWF 2011; 2KM Core Island Swiming; Oceanman Malaysia dan Sukan Sea ke-29 pada tahun 2017.

Sementara itu Yoong berkata, sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Trick, Jump dan Slalom.

Katanya, Malaysia akan diwakili empat atlet iaitu Aaliyah Yoong Hanifah, 16; Nadiah Nasir, 23; Aiden Yoong Hanifah, 12 dan adiknya, Adam,10 tahun.

"Kita yakin atlet negara mampu meraih beberapa pingat emas termasuk memperbaharui rekod negara berdasarkan kejohanan dunia yang disertai sebelum ini," katanya.

195 dibaca
Berita Harian X