Rabu, 19 Jun 2019 | 10:26pm
PAKAR pukulan sudut penalti negara, Nuraini Rashid (kanan). NSTP/Aizuddin Saad

Nuraini diintai kelab hoki Itali, England

KUALA LUMPUR: Nama pakar pukulan sudut penalti negara, Nuraini Rashid kini dikatakan sudah menjadi rebutan kelab hoki dari Itali dan England selepas beraksi cemerlang pada kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland Utara yang berakhir, Ahad lalu.

Antara yang menunjukkan minat terhadap pemain pertahanan berusia 30 tahun itu adalah pasukan Liga Perdana England, East Grinstead HC dan bekas kelabnya, Butterfly Roma HCC dari Itali.

Perkara itu disahkan oleh pengendali skuad wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah yang mengakui ada bertemu dengan ketua jurulatih East Grinstead, Mary Booth, baru-baru ini.

Nuraini ketika dihubungi BH Sukan, bagaimanapun berkata dia masih belum membuat sebarang keputusan kerana ia masih di peringkat awal.

"Sebenarnya saya tidak sangka, saya pun belum buat apa-apa keputusan sama ada mahu pergi ke tidak. Apa yang saya boleh sahkan Butterfly Roma memang sudah menghubungi, manakala East Grinstead saya belum menerima sebarang tawaran.

"Mungkin kerana mereka (East Grinstead) terus berhubung melalui jurulatih saya (Dhaarma). Jadi kena tunggu tawaran dulu baharu boleh buat keputusan," katanya.

Di Ireland Utara baru-baru ini, Nuraini yang sudah membuat 121 penampilan antarabangsa cemerlang mengemudi jentera pertahanan negara selain meledak empat jaringan sepanjang perjalanan skuad Malaysian Tigress meraih tempat ketiga.

Tetapi apa yang paling mencuri perhatian beberapa jurulatih di sana adalah bagaimana pemain bersusuk tubuh kecil itu berjaya melakukan 'scoop' dengan baik untuk membuat lambungan bola jauh ke depan dengan konsisten.

"Bukan senang untuk saya mengekalkan prestasi konsisten itu," kata Nuraini. "Tetapi saya sentiasa berfikiran positif dan fokus pada diri sendiri."

Sementara itu, Nuraini turut percaya skuad Malaysian Tigress juga menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara selain masih yakin dengan peluang untuk mara ke kelayakan terakhir Sukan Olimpik 2020.

"Pasukan menunjukkan peningkatan yang mendadak, paling ketara apabila kita boleh memberi tentangan kepada Ireland yang juga naib juara Piala Dunia 2018.

"Kalau ikutkan kita mampu mencuri mata daripada Ireland, tapi disebabkan perlawanan pertama kita sedikit gugup sehingga menyebabkan kita lambat panas dalam perlawanan," katanya.

1436 dibaca
Berita Harian X