Ahad, 16 Jun 2019 | 1:46pm
TYSON Fury. - Foto Reuters

Fury tumbangkan Schwarz dengan TKO

LAS VEGAS: Jaguh tinju British, Tyson Fury menundukkan petinju Jerman, Tom Schwarz di pusingan kedua menerusi kiraan Technical Knockout (TKO), hari ini.

Fury, yang teruja dengan pertarungan di sini mengatasi Schwarz dengan persembahan hebat di atas gelanggang dan meraih kemenangan seawal pusingan kedua di Arena MGM Grand Garden.

Petinju berusia 30 tahun itu mendominasi pusingan pertama, tampil dengan asakan bertali arus ke arah Schwarz menerusi tumbukan jab tangan kiri yang mengakibatkan muka lawannya itu merah padam.

Di pusingan kedua, Fury mengasak Schwarz ke bucu gelanggang sehingga dia tidak lagi mampu bertahan menyebabkan pengadil, Kenny Bayless tiada pilihan selain menamatkan pertarungan.

“Kunci utama pada malam ini adalah menikmati diri saya sendiri,” kata Fury. “Saya menggunakan tumbukan jab. Saya datang ke sini untuk bergembira dan membuat pertunjukan di Las Vagas dan berharap semua orang menikmatinya sama seperti saya.”

Kemenangan menyaksikan Fury memperbaiki rekodnya kepada 28-0-1 dengan 20 kiraan Knockouts (KO) sekali gus meningkatkan tuntutannya untuk melawan juara dunia heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC) yang tidak pernah kalah Deontay Wilder.

Fury dan Wilder mengharungi pertarungan epik pada pertemuan pertama mereka di Los Angeles, Disember tahun lalu yang menyaksikan Fury bangkit di pusingan ke-12 untuk meraih keputusan seri.

Selepas kemenangan ke atas Schwarz, Fury berkata rancangannya selepas ini mengharungi satu lagi pertarungan, sama ada lewat September atau awal Oktober sebelum membuat perhitungan semula dengan Wilder pada awal 2020.

“Apa seterusnya? Tahun depan kami akan memburu Deontay Wilder untuk tali pinggang hijau,” kata Fury. - AFP

Berita Harian X