Ahad, 16 Jun 2019 | 1:01am
SKUAD hoki wanita terkandas di pentas separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH sebentar tadi

Impian Malaysian Tigress berakhir

 

KUALA LUMPUR: Misi skuad hoki wanita negara untuk mencipta sejarah mara ke Sukan Olimpik terkubur di pentas separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH sebentar tadi selepas mengalami kekalahan 3-0 di tangan Korea Selatan.

Sejak hoki wanita disenaraikan pada Sukan Olimpik 1980, skuad Malaysian Tigress terus kempunan untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu dan kekalahan sebentar tadi menghancurkan impian untuk beraksi di kelayakan terakhir bagi mencari tempat ke temasya terbesar dunia itu.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada barisan pemain negara kerana kejayaan mara ke separuh akhir dalam kempen pusingan kedua kelayakan Olimpik itu antara yang paling jauh pernah dicapai.

Meskipun tidak dapat menandingi kehebatan Korea Selatan di ranking kesembilan dunia, skuad negara cuba bertahan sebaik mungkin sebelum bocor pada minit ke-12 hasil pukulan kencang Cho Hyejin susulan kegagalan kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani mengeluarkan bola.

Dua minit bersambung suku kedua, tiba giliran Kim Hyunji memastikan Korea terus selesa apabila bijak menguis masuk bola hantaran pukulan bebas rakan sepasukannya untuk menewaskan penjaga gol negara Farah Ayuni Yahya.

Cheon Eunbi melengkapkan kemenangan bergaya Korea pada minit ke-48 untuk mengesahkan tempat ke final bagi bertemu pilihan utama Ireland yang terdahulu menumpaskan Republik Czech 4-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Begitupun, Malaysia di ranking ke-22 dunia berpeluang menebus kekecewaan itu apabila sekali lagi dijadualkan berdepan Republik Czech bagi penentuan tempat ketiga, esok.

Sebelum ini, skuad bimbingan Dhaarma Raj Abdullah berjaya mengatasi Republik Czech 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A tempoh hari.

 

 

Berita Harian X