Sabtu, 15 Jun 2019 | 6:17pm
NURUL Huda ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Rehamed Therapy Sdn Bhd di UOA Business Park. - Foto Sairien Nafis

Nurul Huda harap generasi muda teruskan kecemerlangan

 

SHAH ALAM: Bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah berharap kecemerlangan pernah diciptanya hampir 30 tahun lalu dapat diteruskan atlet pelapis.

Nurul Huda berkata, kejayaan seseorang atlet itu tidak dapat diraih sekelip mata, sebaliknya memerlukan komitmen, pengorbanan dan latihan berterusan.

"Saya berbangga melihat semakin ramai atlet renang yang muda dan bagus. Saya gembira melihat perkembangan ini, malah saya lihat ramai dalam kalangan anak kecil belajar berenang, begitu juga dalam pertandingan renang.

"Namun, komitmen daripada atlet saja tidak memadai kerana jurulatih dan keluarga turut memainkan peranan dalam usaha melahirkan atlet yang bagus.

"Saya yakin negara mampu lahirkan lebih ramai atlet renang yang hebat pada masa depan," katanya.   

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Rehamed Therapy Sdn Bhd di UOA Business Park di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Urusan Rehamed Therapy, Datuk L J Charles.

Rehamed Therapy mempunyai pakar fisioterapi berpengalaman serta pakar sains sukan yang merawat sakit belakang, lutut, sakit bahu, kedudukan postur, kecederaan sukan serta penurunan berat badan dan pencegahan kecederaan.

Rehamed Therapy diketuai Jorg Teichmann yang memilki pengalaman 22 tahun merawat atlet ternama negara seperti ratu skuasy, Datuk Nicole David; pelumba F1, Alex Yoong; pemain badminton, Lee Wan Wah; gimnas, Farah Ann; Cheong Jun Hoong serta Azlan Iskandar.

Dalam perkembangan lain, Nurul Huda yang juga pemegang rekod pingat emas terbanyak Malaysia dalam sejarah Sukan SEA dengan 23 pingat emas, menyifatkan persaraan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei adalah berita sedih kepada negara.

"Sudah tentu sukan badminton dekat di hatinya dan keputusan yang diambil ini dibuat selepas beliau fikir sedalam-dalamnya.

"Persaraan beliau adalah berita sedih kepada negara tetapi kesihatan beliau lebih penting tambahan pula beliau memiliki anak masih kecil. 

"Beliau sudah memberikan sepenuh jiwa dan raga kepada negara, sekarang masa untuk bersama keluarganya, saya doakan yang terbaik untuk masa depan beliau," katanya. 

325 dibaca
Berita Harian X