Selasa, 11 Jun 2019 | 9:21pm
Skuad hoki wanita negara meraikan kejayaan mengejutkan Republik Czech dalam saingan pusingan akhir Siri FIH di Ireland, sebentar tadi.

Skuad wanita negara kejutkan Republik Czech di Ireland

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara mengejutkan Republik Czech 3-1 dalam saingan pusingan akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara, sebentar tadi, bagi menempah slot playoff lebih mudah pada Isnin ini.

Sebagai rekod, ia adalah pertemuan kali pertama skuad Malaysian Tigress dengan pasukan dari negara Eropah Tengah itu.

Walaupun berada ranking ke-22 dunia berbanding ke-19 lawannya itu, pasukan kebangsaan mendominasi sebahagian besar aksi terakhir Kumpulan A itu.

Skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah yang hanya memerlukan keputusan seri untuk meraih tempat kedua kumpulan, terlebih dulu di depan hasil pukulan 'cutting' pemain tengah, Wan Norfaiezah Saiuti pada minit ke-28.

Gol itu berpunca daripada kegagalan pertahanan Republik Czech mengeluarkan bola dengan baik yang terbias terkena kayu Hanis Nadiah Onn untuk disambar Wan Norfaiezah.

Malaysia langsung tidak mengendurkan tekanan selepas di depan, namun dinafikan oleh kecekapan penjaga gol, Barbora Cechakova yang menyelamatkan tiga percubaan sejurus bersambung suku ketiga.

Czech yang mendambakan kemenangan selepas ketinggalan menerusi perbezaan agregat gol dengan Malaysia, mengikat semula aksi pada minit ke-47 hasil percubaan pukulan sudut penalti Adela Lehocvoca.

Bagaimanapun, penyerang berpengalaman Fazilla Sylvester Silin hanya memerlukan tempoh beberapa saat untuk kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi pukulan sama selepas 'set-piece' New Zealand antaranya dan Nuraini Rashid menjadi.

Fatin Shafika Mahd Sukri melengkapkan kemenangan penuh bergaya itu pada minit ke-54 selepas bijak menguis bola pukulan 'slap' dari luar kawasan D oleh Nuraini.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia kini melonjak ke tangga teratas Kumpulan A, namun dijangka dipintas semula oleh naib juara Piala Dunia 2018, Ireland yang turun menentang Singapura selepas ini.

Sekiranya Ireland mengatasi Singapura, bermakna Malaysia akan menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan wakil Kumpulan B, Perancis atau Ukraine dilihat menunggu mereka dalam aksi play off Isnin ini.

Pemenang perlawanan itu kemudiannya akan berentap dalam aksi separuh akhir bertemu pasukan juara Kumpulan A dan B yang terus layak automatik ke pusingan empat terbaik itu.

3984 dibaca
Berita Harian X