Sabtu, 25 Mei 2019 | 12:58pm
NUR Azmi Ahmad

MAKAF sokong langkah MSN isu latihanSyakilla

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menganggap keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak membenarkan jaguh karate negara Syakilla Salni Jefry Krishnan berlatih di Latvia sebagai tindakan tepat.

Menurut Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad keputusan yang turut mendapat campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

"Bagi MAKAF kita menyokong sepenuhnya kerana itu adalah keputusan menteri. Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah, selama ini pun kita sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana atlet.

"Dan isu berhubung atlet (Syakilla) kita serahkan pada MSN kerana mereka lebih mahir. Biar mereka aturkan program untuknya.

"Kita sudah bermesyuarat dan menteri sendiri bersetuju mendengar keluhan sebahagian exco yang berpendapat mengapa perlu untuk kita sekadar fokus pada satu-satu atlet," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengakui pihaknya tidak mahu tunduk dengan 'desakan' Syakilla untuk ke Latvia kerana berat badannya kini melebihi 60 kilogram (kg).

Ini bermakna, Syakilla perlu kekal berlatih di Malaysia walaupun enggan menyertai kem latihan kebangsaan bagi memenuhi berat ditetapkan 55kg untuk menyalakan semula impiannya ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, sejak ketibaan bekas jurulatihnya dari Latvia, Andris Vasiljevs minggu lalu, khabarnya berat badan Syakilla yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia bagi kategori kumite 55kg sudah turun beberapa kilogram.

Terdahulu Syakila membuat permohonan untuk berlatih di Latvia di bawah kendalian Vasiljevs bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi kelayakkan Olimpik dan Sukan SEA Manila di Filipina.

Berita Harian X