Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:13am
TIGER Woods. - Foto AFP

Woods terima padah

FARMINGDALE, New York: Tiger Woods mengakui kesilapannya yang tidak melakukan persiapan rapi  selepas kemenangannya di Masters yang mengundang padah apabila tersingkir daripada saingan Kejuaraan PGA awal pagi ini.

Sebulan selepas merangkul gelaran major kali ke-15 di Augusta National, Woods dikejutkan dengan kekalahan apabila melakukan keseluruhan lima atas par 145 di Bethpage Black.

“Saya adalah juara Masters dan berumur 43 tahun dan itu adalah pencapaian yang agak baik,” kata Woods selepas menamatkan lubang ke-36 dengan ketinggalan 17 pukulan di belakang pendahulu, Brooks Koepka.

“Saya seronok menjadi juara Masters sekali lagi dan PGA berlaku sebaliknya dengan pantas dan malangnya saya tak bermain baik.”

Woods menerima padah apabila tidak bermain dalam sebarang kejohanan antara Masters dan PGA dan hanya bermain sembilan lubang di Bethpage ketika latihan minggu ini.

Beliau bercadang bermain lagi sembilan lubang pada Rabu lalu namun persiapannya terjejas akibat masalah kesihatan menjelang kejohanan dan mengambil keputusan untuk berehat.

“Begitulah apa yang terjadi,” katanya. “Hanya (tak) rasa sihat dan tak boleh lakukannya, tetapi berehat akan menjadi lebih baik, jadi saya boleh mempunyai tenaga untuk bermain.”

Ini adalah kali ketiga daripada empat penampilan Woods di Kejuaraan PGA yang menyaksikan Woods terkeluar pada pusingan awal, meskipun beliau mengalami kecederaan belakang yang teruk pada 2014 dan 2015. – Reuters

463 dibaca
Berita Harian X