Jumaat, 17 Mei 2019 | 5:56pm
SAFIQAH Mat Isa

Safiqah tekad manfaat peluang

KUALA LUMPUR: Pertahanan hoki negara, Safiqah Mat Isa bagaikan mendapat 'nyawa kedua' apabila berjaya meloloskan diri untuk dibawa ke Jelajah Eropah yang menjadi medan terakhir sebelum bermula Pusingan Final Siri FIH di Ireland Utara pada 8 Jun ini.

Namanya sebelum ini sering keluar masuk pasukan akibat daripada prestasi kurang meyakinkannya di posisi pertahanan kanan termasuk terlepas tiket beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu.

Namun, peningkatan ketara prestasinya termasuk dalam aksi persahabatan dengan India tempoh hari menyaksikan kedudukan dia bagi 18 tempat terakhir seakan sudah selamat.

"Saya dah bagi yang terbaik," kata Safiqah. "Bila tersenarai dalam barisan 20 pemain terakhir, ini adalah peluang terbaik untuk saya buktikan kepada jurulatih.

"Saya mengambil kegagalan lalu sebagai cara untuk bangkit, bila kita bermain acara berpasukan pastinya kita tidak mahu setiap kali disisihkan.

"Apa guna berada dalam pasukan, hanya kerana inginkan 'title' sebagai pemain Malaysia, perkara itu banyak membakar semangat saya."

Safiqah, 24, salah seorang daripada dua pemain yang mendapat semula tempat selepas diketepikan pada Sukan Asia lalu. Seorang lagi ialah penyerang Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad.

Pemain muda sedang meningkat, Siti Zulaikha Hussin, 18, pula kali pertama berpeluang mendapat pendedahan di pentas antarabangsa selepas disenaraikan kali ini.

Ditanya apakah kunci kepada kebangkitannya kali ini, Safiqah yang mula mewakili negara pada Sukan Asia 2014, mengakui banyak melakukan ulang kaji ketika diketepikan sebelum ini.

"Saya tidak membuat sebarang latihan tambahan, sebaliknya saya banyak melihat semula aksi dan buat perbandingan dalam usaha memenuhi kehendak taktikal jurulatih. Sedikit sebanyak ia membantu meningkatkan keyakinan saya.

"Malah, saya juga berjaya atasi masalah bentesan kerana sebelum ini ia menjadi antara masalah paling ketara dihadapi saya," katanya.

275 dibaca
Berita Harian X