Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:21pm
ABDUL Hamid Hasan (kiri) dan Pengarah Teknikal Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Lee Jae-Hyung pada sidang media pada mesyuarat jawatankuasa bekerja Sukan Memanah. - Foto Saifullizan Tamadi

Skuad Robin Hood buru tiket awal ke Tokyo

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya melayakkan diri pada empat edisi Sukan Olimpik, skuad memanah negara berharap penampilan mereka pada temasya berprestij itu berterusan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, mereka berharap dapat mengesahkan tiket awal pada Kejohanan Memanah Dunia di ’s-Hertogenbosch, Belanda yang berlangsung dari 10 hingga 16 Jun ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pihaknya menghantar 12 pemanah yang akan menyertai acara recurve serta compound lelaki dan wanita.

"Sebenarnya sasaran kita berpasukan lelaki (recurve) tetapi pada masa sama kita harap pasukan wanita juga layak," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) NAAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata mesyuarat juga memutuskan gandingan pemanah berpengalaman, Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Norhasrin dan Muhamad Zarif Syahiir bakal membawa cabaran negara dalam acara recurve berpasukan lelaki sementara Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil dan Loke Shin Hui akan bertanding dalam recurve berpasukan wanita di Belanda nanti.

Pemanah compound turut dihantar dengan Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Syahrizan Jafar akan bertanding dalam berpasukan lelaki serta Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Iman Aisyah Norazam dan Nur Aina Yasmine Halim akan menyertai acara berpasukan wanita.

Sebelum ini, pemanah negara melayakkan diri ke Olimpik sejak empat edisi lalu bermula pada Olimpik 2004 di Athens, Greece, Beijing 2008, London 2012  dan Rio de Janeiro 2016.

Ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung berkata pemanah kini berada dalam prestasi yang baik namun beliau bimbangkan keadaan berangin dan cuaca yang sejuk di venue pertandingan yang terletak di selatan Belanda.

"Kami mendapat maklumat tempat pertandingan itu nanti berangin dan sejuk lebih kurang lima darjah celsius sehingga 18 darjah celsius. Pagi dan petang memang sejuk serta berangin.

"Jadi di Malaysia memang susah untuk kita cari tempat sejuk tetapi kami akan berlatih selama 10 hari di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu kerana keadaan di situ yang berangin. Seminggu sebelum bertolak, kita akan kembali ke sini melakukan persiapan terakhir," katanya mengenai skuad negara yang akan bertolak pada Aidilfitri kedua dan kembali pada 18 Jun.

Beliau berkata seorang pemanah terbaik lelaki dan wanita nanti akan turut menyertai acara berpasukan campuran yang julung kali dianjurkan di Kejohanan Dunia.

Sementara itu, skuad memanah akan menghantar 16 pemanah untuk menyertai Sukan SEA di Filipina pada hujung tahun ini bagi menyertai kesemua 10 acara yang akan dipertandingkan. Senarai akhir pemanah bagaimanapun belum diputuskan.

218 dibaca
Berita Harian X