Khamis, 16 Mei 2019 | 11:30am
MOHD Iruan Zulkifli. - Foto Owee Ah Chun

Persatuan Tinju Malaysia tak setuju rekrut atlet luar

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Malaysia (MBA) lebih percaya kepada bakat petinju tempatan berbanding memilih untuk memberi kerakyatan kepada atlet asing sebagai jalan pintas kepada kontinjen negara merangkul pingat emas di Sukan Olimpik.

“Bagi saya tak patutlah. Kalau nak banggakan negara kita kena ambil atlet asing, pada saya lebih baik kita tak payah hantar wakil.

“Lebih baik kita bangunkan akar umbi atlet sendiri. Kalau nak jadi juara pun biarlah rakyat Malaysia yang bawa bendera Malaysia,” kata Timbalan Presiden MBA, Mohd Iruan Zulkifli selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan khas BH Sukan sejak Jumaat lalu, yang menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan memberi taraf kerakyatan kepada atlet asing bagimenamatkan kemarau pingat emas pertama kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Iruan berkata skuad tinju negara akan menghantar wakil menyertai enam daripada lapan acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina dengan sandaran pingat utama diletakkan kepada pemenang pingat emas di temasya lalu di Kuala Lumpur (KL2017), Muhamad Fuad Mohd Redzuan.

“Kita letak sasaran pada Fuad dan ada lagi sasaran lain yang mana kita tak mahu dedahkan dahulu.

“Pada September ini, atlet negara yang disenarai pendek akan dibawa menjalani latihan dan juga kejohanan tempatan di Kazakhstan selama tiga minggu.

“Kita membawa mereka ke sana kerana Kazakhstan mempunyai teknik berbeza, sekali gus adalah terbaik untuk kita,” katanya.

Pada temasya lalu, Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) yang pertama dalam sejarah tinju negara di KL2017 selepas menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram.

Buat masa ini, seramai 10 petinju menjalani latihan bersama skuad tinju negara di bawah bimbingan ketua jurulatih, Azmi Md Yunus.

190 dibaca
Berita Harian X