Khamis, 16 Mei 2019 | 12:48am
PETINJU Muslim Amerika Syarikat, Julian Williams. - Foto AP

Ramadan beri Julian Williams gelaran dunia WBA, IBF, WBC

VIRGINIA, Amerika Syarikat: Petinju Muslim Amerika Syarikat, Julian Williams mencipta kejutan dengan menewaskan jaguh yang tidak pernah kalah, Jarrett Hurd untuk merangkul tali pinggang kelas ‘super welterweight’ Persatuan Tinju Dunia (WBA), Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dan Majlis Tinju Dunia (WBC).

Sejurus melakar kejayaan berkenaan di Arena EagleBank di Fairfax itu, minggu lalu, Williams pantas mengucapkan Alhamdulillah ketika ditemuramah sambil mengalirkan air mata penuh emosi.

"Pertama sekali, apa yang saya mahu ucapkan ialah Alhamdulillah. Saya amat diberkati," kata Williams, 29. “Alhamdulillah, ini adalah bulan Ramadan. Saya ingin mengucapkan Ramadan Mubarak kepada semua Muslim di luar sana."

Kemenangan yang dinoktahkan dengan keputusan sebulat suara itu jelas mengejutkan ramai pihak malah Williams sendiri seakan tidak percaya kemenangan terhadap Hurd.

Lebih mengagumkan, Williams mengharungi kehidupan penuh berliku apabila terpaksa  menjadi gelanggang di usia 13 tahun dan melihat ibunya bergelut dengan penagihan dadah.

"Ini adalah mimpi yang menjadi kenyataan," kata Williams yang turut memiliki rekod yang menakjubkan apabila juara dunia baharu itu hanya tewas sekali sepanjang 29 pertarungan.

Sejak kekalahan tunggalnya kepada Jermall Charlo pada Disember 2016, Williams yang dikenali sebagai J Rock sudah memenangi lima pertarungan berturut-turut dan mengakui ia adalah detik paling dinanti-nantikan olehnya.

“Mereka memberitahu saya yang saya tiada peluang, yang saya tidak mempunyai kekuatan,” kata Williams. “Jarrett adalah peluang yang hebat dan dia sentiasa memberi saya tekanan. 

“Saya mendapat motivasi kerana semua orang ragu terhadap saya. Saya menyekat Twitter, Instagram saya. Saya menutup segala perkara yang baik dan buruk. Di dunia tinju, mereka membuatkan seperti jika petinju itu kalah, mereka tidak boleh bangkit dan saya mengetahuinya dan ia bukan bagi saya.”

Hurd dalam pada itu mengakui kekalahannya kepada Williams.

“J Rock lelaki yang lebih baik malam ini,” kata Hurd, 28. “Dia menjatuhkan saya buat pertama kali dalam karier saya dan dia keluar sebagai pemenang. Ia langsung tidak berkaitan dengan rasa gemuruh.” - Agensi

1619 dibaca
Berita Harian X