Rabu, 15 Mei 2019 | 8:31pm
ATLET karate Malaysia, Syakilla Salni Jefry Krisnan. - NSTP/Azhar Ramli

MAKAF masih sayang Syakilla

KUALA LUMPUR: Biarpun kebangkitan atlet muda terutama P Madhuri disebut-sebut sebagai pengganti atlet senior, Syakilla Salni Jefry Krisnan, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) masih menyenaraikan namanya untuk ke Sukan SEA dan kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Sekali pun Syakilla kini masih berdepan dengan masalah berat badan, Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata namanya tetap disenaraikan dalam ketiga-tiga kategori - bawah 55 kilogram (kg), bawah 61kg dan lebih 61kg serta dimasukkan ke dalam senarai panjang untuk ke kelayakan Olimpik yang bakal diadakan di Paris pada April, tahun hadapan.

"Pada bulan puasa ini berat badan dia naik sikit ke 67.95kg. Kita sayang juga dia, kita siap letakkan di bawah tiga kategori.

"Biarlah dia pilih (kategori mana bertanding) namun kalau dia mahu bermain bawah 55kg, dia perlu bekerja lebih keras tetapi kalau bawah 61kg juga dia perlu kekalkan berat itu.

“Jadi cadangan kita adalah biar dia beri tumpuan pada lebih 61kg tetapi apa pun terpulang pada dia," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MAKAF bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Azmi bagaimanapun berkata Syakilla yang sebelum ini memilih menjalani latihan di bawah bekas jurulatih negara, Andris Vasiljevs di Latvia perlu memberi tumpuan terhadap apa yang dia mahukan.

"Kita tak tolak dia (Syakilla) ketepi. Kita ambil cabaran Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bantu Syakilla), dapatkan persetujuan Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk membantu Syakilla. 

“Tetapi akhirnya terpulang pada dia sama ada mahu atau tidak kerana jika dia mahu kembali ke skuad kebangsaan, dia perlulah ikuti sistem sedia ada," katanya.

Syakilla yang sebelum ini pernah menduduki ranking teratas dunia kategori bawah 55kg, bergelut dengan masalah berat badan yang menyebabkannya terlepas beberapa siri kejohanan luar negara untuk mengumpul mata kelayakan Olimpik pada tahun lalu sekali gus menyebabkan rankingnya jatuh.

Mengenai Madhuri yang menduduki ranking nombor satu dunia bagi kategori kumite 50kg bawah 21 tahun, Azmi berkata atlet muda itu dilihat sebagai pesaing terbaik kepada Syakilla.

"Kita sudah ada perancangan bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk masa depan Madhuri. Bukan kita lupakan terus Syakilla tetapi kita mahu memberi persaingan kepada Syakilla supaya dia dapat kembali bangkit," katanya yang turut berkata Madhuri dan seorang lagi atlet, A Somanroy disenaraikan ke dalam Program Podium.

Beliau berkata senarai nama akhir atlet karate yang akan dihantar ke Sukan SEA adalah pada 30 Ogos ini bagi penyertaan dalam sembilan kategori.

"Sasaran kita adalah empat emas karate (dua kata dan dua kumite). Selepas memperoleh senarai akhir nanti (seramai sembilan atlet), kita akan senaraikan lima atlet simpanan dan mereka yang disenaraikan akan menjalani latihan di luar negara sebulan sebelum ke Sukan SEA," katanya.

Berita Harian X