Rabu, 15 Mei 2019 | 1:13pm
Presiden, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Khairul Azhar Ahmad

MOM, KBS bincang rekrut atlet asing

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menutup pintu rundingan untuk merekrut atlet asing terutamanya dalam acara yang prestasinya kurang memberangsangkan di Sukan Olimpik.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata ia antara langkah jangka pendek wajar dipertimbangkan dengan pemilihan sukan itu perlu dibuat secara menyeluruh.

“Datuk Ahmad Shapawi (Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) berpendapat perlu penelitian mendalam berhubung cadangan ini, namun saya pula beranggapan sekiranya pembangunan satu-satu sukan itu berlaku di peringkat akar umbi, kita perlu teruskan dengan atlet tempatan.

“Tetapi bagi sukan baharu dan yang tidak mempunyai pencapaian, mungkin kita boleh mengambil atlet naturalisasi ataupun beri taraf kerakyatan,” katanya.

Malah, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya walaupun ia membabitkan polisi kerajaan, namun MOM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus mengadakan perbincangan.

“Saya beranggapan bahawa kita perlu membuat penelitian secara holistik jenis sukan yang perlu. Kita juga perlu kemukakan polisi di peringkat atasan maksudnya MOM dan KBS adakan satu perbincangan dan lihat sukan mana yang boleh merekrut atlet naturalisasi.

“Sebagai contoh kalau kita hendak mengambil bahagian dalam acara gusti mungkin kita perlu ambil atlet asing dan tinju juga mungkin. Sukan-sukan seperti ini memang kita perlukan tenaga asing,” katanya.

Bagaimanapun, Norza menegaskan bagi sukan seperti badminton dan hoki yang sudah mencapai tahap tertinggi di pentas antarabangsa tidak memerlukan khidmat atlet asing.

Shapawi kelmarin mendedahkan pihaknya belum bersedia mengeluarkan komen lanjut berhubung perkara yang membabitkan polisi kerajaan itu sebaliknya berkata ia perlu penelitian secara mendalam.

Menerusi Laporan Khas BH Sukan sejak Jumaat lalu, kerajaan disaran mempertimbangkan cadangan untuk memberi taraf kerakyatan kepada atlet asing yang dilihat formula terbaik untuk menamatkan kemarau pingat emas pertama kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik.

128 dibaca
Berita Harian X