Selasa, 14 Mei 2019 | 11:49am
Madhuri (kiri) mengharumkan nama Malaysia apabila menduduki ranking nombor satu dunia bagi kategori kumite 50kg bawah 21 tahun. - Foto V Chantiran

Madhuri ikut jejak Syakilla

KUALA LUMPUR: Selepas Syakilla Salni, kini tiba giliran atlet karate muda negara P Madhuri pula mengharumkan nama Malaysia apabila menduduki ranking nombor satu dunia bagi kategori kumite 50kg bawah 21 tahun.

Dalam kemas kini ranking terbaru Persekutuan Karate Dunia (WKF), atlet berusia 20 tahun itu melonjak ke tangga teratas dengan keseluruhan 1,050 mata untuk memintas atlet Iran, Sara Bahmanyar dengan kelebihan 15 mata.

Kemenangan pingat perak di Kejuaraan Karate Remaja Asia 2019 di Kota Kinabalu, bulan lalu nyata menjadi penyumbang kepada lonjakan mata yang besar itu.

Malah, dengan kejayaan berkenaan membuktikan Madhuri berada pada landasan yang tepat sebagai calon pengganti masa depan Syakilla yang sejak kebelakangan ini banyak terlepas kejohanan utama gara-gara masalah berat badan.

Madhuri ketika ditanya berhubung kejayaan itu sudah tentu gembira dan berjanji untuk memberikan yang terbaik sekiranya terpilih ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

"Saya akan bekerja lebih keras untuk Sukan SEA nanti dan membuat yang terbaik di sana," kata Madhuri.

Pemenang pingat emas acara berpasukan kumite Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu turut mengakui menjadikan Syakilla sebagai idolanya.

"Saya mahu menjadi sepertinya satu hari nanti, dia adalah pejuang yang hebat dan antara yang terbaik. Malah, dia begitu berbakat.

"Dan saya percaya, ia bukan sesuatu yang mustahil dengan kehadiran jurulatih dari Iran, Ali Reza (Souleymani). Banyak peningkatan saya dapat rasakan sejak di bawahnya yang mana latihannya lebih tertekan pada asas dan pergerakan dalam gelanggang," katanya.

Berita Harian X