Isnin, 13 Mei 2019 | 12:29pm
ATLET 110 meter lari berpagar, Elvin Yap Zhi Xian.

MSN jamin gilap bakat Elvin

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi jaminan tidak akan mensia-siakan atlet berbakat termasuk atlet 110 meter (m) lari berpagar, Elvin Yap Zhi Xian.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut memohon agar atlet itu tidak diganggu bagi membolehkan bakatnya berkembang tanpa gangguan.

“Alhamdulillah, ada satu lagi calon (untuk mengisi skuad pelapis kebangsaan). Tapi saya mohon Elvin tidak diganggu, biar dia dalam persekitaran sendiri.

“InsyaAllah jika dia berbakat, kita akan ambil juga satu hari nanti,” kata Shapawi ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai permintaan jurulatih Elvin, Rasia Lutang yang berharap anak didiknya itu disenaraikan ke dalam skuad pelapis kebangsaan supaya bakatnya tidak terkubur selain mendapat program latihan, pemakanan dan motivasi terbaik bagi meningkatkan prestasinya.

Larian memukau Elvin dari Sarawak yang baru berusia 15 tahun menampilkan pecutan memukau apabila jauh meninggalkan pencabar ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor, baru-baru ini.

Berita Harian X