Rabu, 1 Mei 2019 | 10:51am

WADA ambil 2,262 sampel dari makmal Moscow

MONTREAL: Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) berkata mereka sudah mendapatkan 2,262 sampel dari bekas makmal ujian doping di Moscow, Russia yang akan dijalankan analisis lanjutan secara terperinci.

WADA dalam satu kenyataan berkata badan penyiasat sudah mendapatkan sampel A dan B dari bekas makmal itu yang dibahagikan kepada 4,524 botol.

Sampel itu sudah dibawa keluar dari Moscow bagi tujuan ujian semula di makmal yang diiktiraf WADA yang terletak di luar Russia.

"Penyiasat WADA meneruskan usaha ini yang mana ia adalah kes yang rumit dan sukar," kata Pengarah penyiasat WADA, Gunter Younger.

"Sampel ini akan digunakan bagi menguatkan lagi kes terhadap mereka yang mungkin menipu dan mungkin menyelamatkan atlet yang tidak melanggar peraturan anti doping."

Kerja-kerja mengambil sampel dilakukan selepas penyiasat WADA mendapati wujud maklumat penting dalam data analisa dari makmal itu pada Januari.

Younger berkata laporan daripada maklumat yang diperoleh akan dihantar ke Jawatankuasa Kajian Semula Pematuhan WADA pada awal Mei.

Perkembangan terkini penyiasatan juga akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Lembaga Yayasan pada 15-16 Mei. - AFP

 

 

32 dibaca
Berita Harian X