Jumaat, 26 April 2019 | 11:56pm
PEMAIN Malaysia, Abu Kamal Azrai (dua dari kanan) diasak pemain Brazil pada pertama pusingan akhir siri FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Malaysia belasah Brazil

 

KUALA LUMPUR: Bilangan penonton yang kurang memberangsangkan langsung tidak merentap semangat skuad hoki negara apabila menjadikan samba Brazil sebagai mangsa pertama dengan membelasah lawan itu 6-0 dalam aksi sulung Pusingan Final Siri FIH, sebentar tadi.

Anak buah Roelant Oltmans nyata berada di kelas tersendiri dengan tidak memberi banyak ruang kepada pasukan Brazil yang cukup sinonim dengan permainan bola sepak.

Bagaimanapun, skuad Malaysian Tigers perlu menunggu hingga bersambung suku ketiga untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Norsyafiq Sumantri sekali gus menyuntik semangat pasukan bagi berpesta gol selepas itu.

Terdahulu dalam aksi di depan kira-kira 400 'komuniti' penyokong hoki tempatan, Malaysia berhati-hati dengan percubaan terbaik hadir menerusi tolakan Fitri Saari yang terkena tiang gol Brazil.

Anak-anak buah Oltmans meningkatkan tekanan di suku kedua untuk memperolehi dua pukulan sudut penalti, namun kedua-duanya disia-siakan begitu saja.

Penantian Malaysia untuk menembusi gawang Brazil yang dikawal Rodrigo Faustino akhirnya menjelma di suku ketiga apabila berpunca dari gerakan Fitri Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil disudahi oleh Norsyafiq.

Persembahan skuad negara semakin meyakinkan apabila berjaya menambah gol kedua menerusi set piece pukulan sudut penalti disempurnakan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-38 dan Fitri meledak gol ketiga pada minit ke-48.

Meor Azuan Hassan dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing meyumbat gol padang pada minit ke-53 dan 54 ketika jaringan pukulan sudut penalti Razie Rahim dua minit kemudian melengkapkan kemenangan bergaya itu untuk membolehkan Malaysia mengungguli Kumpulan B.

Sementara itu, kejutan terbesar dilakukan Itali apabila menewaskan China 2-1 pada perlawanan pertama Kumpulan B menerusi jaringan Julian Montone pada minit kesembilan dan Agustin Nunez minit ke-49 ketika gol China hasil sumbangan Tu Yuan Lin (m-29).

Hadir dengan status pasukan ranking paling rendah di kejohanan ini iaitu ke-32 dunia, kualiti permainan ditunjukkan Itali nyata jauh lebih baik berbanding China yang menduduki ranking ke-14 selain pilihan untuk mara lebih jauh di kejohanan ini.

Berita Harian X