Rabu, 24 April 2019 | 10:47pm
NUR Ainul menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam Pertandingan The 17th Japan WATA Open Intercontinental Taekwondo Championship Osaka 2019 di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Berkorban makan nasi segenggam sehari

KOTA BHARU: “Selama sebulan saya mengamalkan makan segenggam nasi sehari untuk mengekalkan kecergasan sebagai persediaan menyertai pertandingan ini,” kata Nur Ainul Safia Safinei, 11.

Beliau yang juga Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim mendapat emas Kategori 51 kilogram (kg) dalam Pertandingan The 17th Japan WATA Open Intercontinental Taekwondo Championship 2019 di Osaka, Jepun.

Katanya, dia terpaksa berkorban dan mengehadkan jumlah pengambilan nasi atas saranan jurulatih yang mahu mengekalkan kecergasan setiap peserta yang menyertai pertandingan.


GURU dan keluarga pelajar menyambut kepulangan Nur Ainul di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

“Walaupun pada awalnya agak sukar untuk saya mengikuti diet yang dirancangkan, namun sedikit demi sedikit saya mampu mengawal diri dan apa yang dilakukan ini adalah demi kebaikan kerana tidak mahu cepat berasa letih ketika berhadapan dengan pihak lawan.

“Dalam tempoh itu, saya lebih banyak mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan kerana kurang gemar makan sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSIP), di sini, hari ini.

Nur Ainul Safia berkata, dia mula menyertai taekwondo ketika berusia tujuh tahun kerana minat dan ingin mempertahankan diri sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Katanya, lebih setahun dia berguru dengan jurulatih dari Kelab SARA Taekwando Martial Arts Negeri Kelantan untuk mempelajari dan menguasai pelbagai teknik dalam seni mempertahankan diri.

“Selepas jurulatih melihat kebolehan yang ada ketika berusia lapan tahun, saya mula menyertai beberapa pertandingan dalam negeri untuk mewakili kelab ini.

“Ketika berusia sembilan tahun, saya mewakili kelab ke pertandingan taekwando peringkat antarabangsa iaitu di Jogjakarta dan mendapat pingat gangsa, namun kekecewaan itu ditebus kembali selepas mendapat emas dalam pertandingan di Jepun,” katanya.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Jurulatih Kelab SARA Taekwando Martial Art Negeri Kelantan, S Manimaran berkata, pertandingan yang diadakan di Osaka bermula 20 hingga Ahad lalu itu, disertai 25 negara.

“Bagi kelab ini, kami menghantar sembilan peserta berusia antara lapan hingga 17 tahun untuk menyertai pertandingan sekali gus mewakili Kelantan.

“Dalam pertandingan ini, sebanyak tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa berjaya dibawa pulang peserta yang bertanding,” katanya.

2252 dibaca
Berita Harian X