Ahad, 21 April 2019 | 7:22pm
Gambar fail, pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal beraksi ketika menentang pemain Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) menerusi Piala TNB 2018 pada Februari tahun lalu. -Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Faktor Faizal' tingkat semangat Azrai

KUALA LUMPUR: Rasa kekok mungkin perkara biasa terutama buat pemain muda yang kali pertama menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.

Begitupun tidak bagi ayam tambatan baharu skuad hoki negara, Azrai Aizad Abu Kamal yang tampil memukau ketika membantu Malaysian Tigers meraih tempat ketiga di Piala Sultan Azlan Shah, bulan lalu.

Justeru, bukan mengejutkan apabila nama penyerang berusia 20 tahun itu sekali lagi 'lekat' dalam senarai 18 pemain impian Roelant Oltmans bagi kempen Pusingan Final Siri FIH yang membuka tirainya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Azrai ketika diminta mengulas mengenai kejayaannya muncul satu-satunya pemain baharu yang terpilih mendedahkan faktor beraksi di sisi penyerang sensasi Faizal Saari menyebabkan dia pantas menyesuaikan diri bersama pasukan.

"Memang (faktor Faizal sebagai idola sejak dari kecil) banyak membantu, saya memang sudah lama menjadikan corak permainan Faizal sebagai ikutan, jadi ia sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri.

"Sebenarnya saya sendiri tidak sangka tersenarai kali ini apatah lagi dengan lambakan penyerang senior dalam pasukan selain kepulangan beberapa pemain yang cedera sebelum ini," katanya.

Azrai yang namanya lambat 'meletup' gara-gara terlepas beberapa saingan penting peringkat remaja, dilihat berjaya mencuri hati penyokong tempatan di Ipoh, bulan lalu terutama dari segi kemampuannya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

Malah, kehadirannya dalam pasukan ranking ke-13 dunia itu juga seakan menyuntik dan meningkatkan persembahan Faizal selepas mereka berjaya membentuk gandingan ampuh di bahagian serangan bersama Norsyafiq Sumantri dan Fitri Saari.

412 dibaca
Berita Harian X