Selasa, 16 April 2019 | 4:28pm
MOHD KHUZZAN (empat dari kanan) mengadakan lawatan di Stadium Akuatik di Larkin Johor Bahru. - Foto Ihsan Exco Belia, Sukan, Kebudayan Johor

Kemudahan SUKMA 2020 siap awal tahun depan

JOHOR BAHRU: Projek pembinaan dan membaik pulih kemudahan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan dianjurkan di negeri ini dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata kerja-kerja pembinaan dan baik pulih kemudahan itu berjalan lancar mengikut jadual.

“Berdasarkan lawatan saya hari ini ke empat lokasi pembinaan fasiliti yang akan digunakan untuk SUKMA 2020 menunjukkan perkembangan yang positif.

“Empat lokasi berkenaan termasuk Stadium Tertutup Arena Larkin, Stadium Akuatik di Larkin, Sports City Mount Austin dan Arena Mas di Taman Impian Emas.

“Saya amat berpuas hati dengan lawatan di kesemua lokasi berkenaan. Lawatan ini adalah lawatan mengejut saya ke lokasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai Penolong Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA Johor, Mohd Johari Tarmidi.

Mohd Khuzzan berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pembinaan dan baik pulih kemudahan SUKMA 2020 siap sepenuhnya.

“Lawatan ke lokasi SUKMA ini juga akan diteruskan ke Velodrom, Medini esok bagi melihat perkembangan pembinaannya untuk digunakan bagi acara berbasikal,” katanya.

428 dibaca
Berita Harian X