Sabtu, 30 March 2019 | 11:58pm
Kontinjen Selangor muncul johan keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan. - Foto Asrol Awang

Selangor juara keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19

KUANTAN: Kontinjen Selangor muncul johan keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke-19 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, hari ini.  

Kejayaan Selangor itu hasil daripada 17 pingat diraih, masing-masing lima pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa yang membabitkan penyertaan 21 kontinjen pada kejuaraan kali ini.  

Naib johan keseluruhan pula diraih kontinjen tuan rumah yang mengutip empat emas, tiga perak dan tiga gangsa manakala ketiga menjadi milik kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa pulang tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.  

Bagi pesilat yang meraih emas, masing-masing 18 atlet silat olahraga dan lapan silat seni akan bertarung dengan pesilat kebangsaan yang dijadualkan diadakan pada Jun ini.  

Pertarungan itu untuk menilai sama ada juara kejuaraan silat kebangsaan itu mampu untuk menewaskan pesilat negara, sekali gus mewakili skuad negara.  

Pada kejuaraan kali ini, PESAKA mengesahkan 610 pesilat daripada 21 kontinjen bagi merebut 26 pingat emas dipertandingkan.  

Buat kali pertama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pesilat mereka selain ATM serta tiga badan persendirian dan ahli gabungan PESAKA.  

Tiga badan berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).  

Majlis penutup kejuaraan disempurnakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Berita Harian X