Rabu, 20 March 2019 | 5:20pm
MOHD Khuzzan Abu Bakar ketika hadir Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Gelanggang SUKMA Johor 2020 siap September

KUALA LUMPUR: Tiga gelanggang yang bakal digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor pada 11 hingga19 Julai tahun hadapan dijangka siap pada September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata proses pembinaan venue baru membabitkan stadium olahraga dan stadium tertutup - Arena Larkin serta kerja-kerja menaiktaraf pusat akuatik mengikut jadual.

"Insya Allah pembinaan venue lain akan selesai awal tahun 2020. Kita akan pastikan sebelum berlangsungnya SUKMA, kita akan mengadakan ujian dahulu pada setiap venue pertandingan," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 kali pertama di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Mengikut perancangan, Johor bakal membina sembilan venue baru iaitu bagi sukan ragbi, menembak, olahraga, skuasy, memanah, petanque, boling padang, badminton dan berbasikal trek sementara venue sukan akuatik, pelayaran dan kanu akan menjalani proses menaiktaraf.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua Johor menjadi tuan rumah SUKMA selepas kali pertama menganjurkannya pada 1992.

Mohd Khuzzan berkata penempatan bagi perkampungan sukan atlet juga sudah diputuskan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menjadi perkampungan utama yang bakal menempatkan 10,000 atlet.

"Kita sudah beberapa kali melawat tempat yang kita cadangkan untuk penempatan sukan dengan UTM dipilih sebagai perkampungan utama. Biarpun di situ boleh menempatkan 16,000 orang tetapi kita tempatkan 10,000 atlet sahaja bagi atlet yang bertanding di sekitar Johor Baharu.

"Bagi atlet yang bertanding di Muar pula kita akan letakkan di hub pendidikan di Pagoh yang mana mempunyai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan juga Universit Islam Antarabangsa (UIA). Sementara di Kolej Profesional Kota Tinggi, Bandar Penawar pula akan menjadi penempatan atlet layar," katanya.

Mengenai status sukan angkat berat, Mohd Khuzzan berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama KBS serta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam masa terdekat dan memberi kata putus sebelum bermulanya Ramadan pada Jun ini.

"Bagi atlet angkat berat Johor, kita masih berlatih seperti biasa. Cuma sekarang tunggu keputusan secara rasmi dan kita lihat macam mana dengan harapan isu ini tidak berlarutan," katanya.

215 dibaca
Berita Harian X