Rabu, 20 March 2019 | 5:16pm
SYED Saddiq ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Angkat berat berdepan digugur SUKMA Johor 2020

PUTRAJAYA: Gara-gara tiga kes 'kantoi' doping pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada tahun lalu, kedudukan sukan angkat berat untuk dipertandingkan pada temasya sama di Johor, pada tahun depan dijangka samar.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, status sukan berkenaan masih belum diputuskan biarpun mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 sudah memutuskan senarai 16 sukan wajib selain lapan sukan pilihan dan enam lagi sukan pilihan (tambahan) yang bakal dipertandingkan pada Julai tahun hadapan.

"Kita KIV (letak dalam senarai simpanan) dahulu angkat berat, sebab utama adalah sebelum penganjuran SUKMA Perak lagi kita telah memberikan amaran kepada sukan angkat berat kerana adanya kes doping. Walaupun amaran itu diberikan ketika SUKMA, masih ada lagi kes yang berlaku (di Perak).

"Jadi sekarang kita KIV dahulu sebab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan kerajaan negeri mahu mendapatkan maklumat tambahan daripada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) supaya kita fikirkan jalan untuk ke hadapan bagaimana untuk pastikan insiden seperti ini tidak lagi berulang dan pastikan teguran yang kita berikan akan diambil serius," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 pertama di kementeriannya di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata pertemuan bersama persatuan bakal diadakan dengan segera bagi memastikan persiapan atlet di peringkat akar umbi tidak terjejas.

Sebelum ini, sukan angkat berat digugurkan daripada senarai sukan teras sebagai hukuman kerana berlakunya kes doping biarpun berulangkali diberikan amaran, namun angkat berat masih lagi dipalit dengan kes doping apabila seorang daripadanya didapati positif ketika pra SUKMA manakala tiga lagi disabitkan penggunaan bahan terlarang ketika temasya berlangsung sekali gus menjadikan lapan kes keseluruhan yang membabitkan atlet angkat berat berlaku tahun lalu.

Syed Saddiq berkata kempen kesedaran peringkat awal terutama sekali membabitkan atlet muda berumur bawah 21 tahun ke bawah akan diperluaskan bagi mengekang budaya doping di kalangan atlet dengan pembabitan kerajaan negeri untuk melakukan saringan sendiri sebelum bermulanya temasya.

"Selepas ini kita nak pastikan kerjasama lebih rapat dengan ADAMAS. Kita mahu pastikan pegawai ADAMAS ditempatkan di lokasi yang strategik untuk memastikan kita dapat membuat tapisan daripada peringkat awal," katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata Johor bakal menganjurkan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) terlebih dahulu pada 22 hingga 27 Jun 2020 sebelum berlangsungnya SUKMA 2020 pada 11 hingga 19 Julai 2020 diikuti Para SUKMA pada 15-22 Ogos 2020.

Beliau berkata venue pertandingan pada temasya dwi tahunan itu nanti bakal dibahagikan kepada tiga kluster iaitu Johor Baharu, Muar dan Kota Tinggi.

Berita Harian X