Rabu, 20 March 2019 | 12:50am
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (belakang tengah) bergambar bersama murid sekolah sempena pelancaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di Hotel Impiana, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

Tingkat prestij Piala Sultan Azlan Shah - MB

IPOH: Kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah akan dipertingkatkan lagi agar lebih berprestij selari dengan tarafnya sebagai kejohanan jemputan tertua di dunia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan lagi kejohanan itu yang sekali gus memperkenalkan Perak di mata dunia.

"Ini adalah kejohanan paling lama yang pernah wujud di dunia dan tentunya ia mempunyai prestij tersendiri.

"Kejohanan ini memang dinanti-nantikan oleh pasukan hoki elit dunia.

"Sasaran kita adalah untuk terus memperhebatkan prestij kejohanan sekali gus memperkenalkan Perak ke segenap pelusuk dunia," katanya dalam sidang media di Majlis Pelancaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Hoki Asia, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How.

Menurutnya, edisi kali ini disertai enam negara termasuk pasukan Malaysia, India, Kanada, Korea Selatan, Jepun dan Poland.

"Kita juga mahu memperkenalkan atau mempopularkan lagi sukan hoki ini dikalangan generasi muda, manakala bagi pasukan pula kita harap dapat menjuarai kejohanan ini buat pertama kali, namun paling penting memberi persembahan terbaik.

"Saya harap orang ramai akan berpusu-pusu datang ke Stadium Hoki Sultan Azlan Shah kerana masuk adalah percuma," katanya.

Ahmad Faizal berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke perlawanan akhir kejohanan pada 30 Mac ini.

Sementara itu, Abd Rahim berkata peluang pasukan negara untuk menjuarai kejohanan kali ini amat cerah berdasarkan ranking pasukan yang menyertainya.

"Berdasarkan kedudukan ranking, pasukan negara mampu melangkah ke perlawanan akhir dan kita harap mampu menjuarai kejohanan kali ini yang memasuki edisi ke-28 dimana selama 27 edisi sebelum ini kita tidak pernah memenanginya," katanya.

136 dibaca
Berita Harian X