Selasa, 19 March 2019 | 7:18pm
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir melancarkan IJM Allianz Duo Highway Challenge 2019 di IJM Sentral Park. Turut sama pelari marathon, Ow Yong Jun Kuang (kiri) dan Sheela Samivellu. - Foto Rohanis Shukri

Larian IJM Allianz 2019 lebih mencabar - S Sheela

KUALA LUMPUR: Juara keseluruhan dua kali bagi kategori wanita, S Sheela menjangkakan cabaran lebih besar bakal diharunginya pada larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2019 yang dijadual berlangsung pada Julai dan Ogos ini.

"Agak mencabar untuk tahun ini sekiranya dibandingkan dengan tahun lalu," kata Sheela selepas majlis sidang media mengenai larian itu di sini, hari ini.

"Bagi saya, berlari di NPE lebih senang daripada Besraya. 

"Kali ini (larian) Besraya (sejauh) 26KM berbanding tahun lalu 13KM. Untuk berlari di Besraya pun agak mencabar kerana kali ini 26KM dan kena melakukan dua pusingan dan ini satu cabaran besar buat peserta. 

"Untuk kali ini juga, larian Besraya dilakukan pada waktu malam. NPE untuk waktu malam lebih senang tetapi Besraya laluannya banyak yang mendaki jadi ia mungkin sedikit memenatkan."

NPE Highway Challenge dijadual berlangsung sejauh 21 kilometer (KM) untuk separuh marathon dan 10KM pada 14 Julai ini manakala Besraya Highway Challege, buat kali pertamanya dianjurkan pada waktu malam 24 Ogos dengan jarak sejauh 26KM dan 13KM larian secara berganti-ganti berbanding dua edisi lalu, 6KM. 

Mengulas lanjut mengenai dua larian berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan berkata, pihak penganjur ketika ini sudah menerima lebih kurang 6,000 penyertaan daripada 17,000 yang disasarkan untuk kedua-dua larian yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan, RM84,400 itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon mengharapkan penyertaan lebih ramai dapat diraih tahun ini selepas tahun lalu membabitkan 15,000 peserta. 

"Besraya Highway Challege akan menjadi larian waktu malam yang pertama di atas lebuhraya tertutup - ini akan memberikan pengalaman larian yang lebih sejuk dalam keadaan yang amat selamat dan terkawal," kata Heng Choon.

107 dibaca
Berita Harian X