Jumaat, 15 March 2019 | 9:17pm
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Projek Track beri atlet pengalaman kerja

 

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini memperkenalkan Projek Track yang bakal memberikan peluang kepada atlet negara menimba pengalaman pekerjaan sebenar di sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai persediaan selepas persaraan dari bidang sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata, projek perintis dijalankan Unit Pendidikan dan Karier Atlet Malaysia (MACE) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) itu bakal menyaksikan 50 atlet akan dibawa ke alam pekerjaan bersama syarikat berminat dengan jangkaan bermula pertengahan tahun ini.

"Tahun lepas kita sudah adakan satu perbincangan kumpulan sasaran dengan kita menjemput atlet termasuklah atlet para, jurulatih dan pegawai sukan memberikan maklum balas serta idea untuk program ini.

"Daripada situ kita dapati 80 peratus peserta terlibat (dalam kumpulan sasaran) menyatakan hasrat untuk atlet sertainya. Dalam aspek ini ia adalah idea baharu, jadi kita mahu lakukan projek perintis dulu dengan menghantar 50 atlet ke pasaran kerja.

“Kita akan pantau apa nilai tambah boleh dilakukan bagi atlet atau majikan sama ada pekerjaan itu mengganggu prestasi mereka semasa latihan atau kejohanan," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama syarikat swasta dan GLC, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyediakan garis panduan lengkap projek termasuk cara pemilihan atlet berkelayakan dan mendapatkan input daripda jurulatih dan pegawai sukan supaya inisiatif itu tidak menjejaskan latihan dan prestasi sedia ada atlet terbabit.

Dalam perjumpaan hari ini yang menyaksikan kehadiran 36 syarikat swasta dan GLC, Steven berkata maklumbalas diterimanya menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan itu malah ada beberapa syarikat kini mengambil atlet sebagai staf mereka dan bercadang menambahnya.

Sebelum itu, Steven yang menyampaikan pembentangan projek itu berkata, kebanyakan atlet tidak mempunyai peluang besar dalam sektor pekerjaan selepas persaraan sebagai atlet disebabkan ketiadaan pengalaman bersesuaian kerana menghabiskan masa lama dalam karier mereka. 

Berita Harian X