Jumaat, 15 March 2019 | 6:38pm
SETIAUSAHA Agung PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok. - Foto Rosela Ismail

PESAKA Pahang sasar 8 emas

KUANTAN: Sejumlah lapan pingat emas disasar Persatuan Silat (PESAKA) Pahang pada Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, bermula 26 hingga 30 Mac ini.

Setiausaha Agung PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok berkata, daripada jumlah itu, enam emas disasart dalam ketegori silat olahraga manakala dua lagi daripada kategori silat seni.

Katanya, untuk kejohanan berkenaan, PESAKA Pahang menyenaraikan 32 pesilat, masing-masing 18 daripada silat olahraga manakala 14 silat seni.

"Oleh itu, kita mahu 32 pesilat berumur antara 17 hingga 35 tahun itu dapat mempamerkan keputusan cemerlang dan mengharumkan nama Pahang.

"PESAKA Pahang menjangkakan pesilat Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu antara pencabar utama kejohanan kali ini," katanya.

Pada kejohanan kali ini, 756 pesilat daripada 21 kontinjen mengesahkan penyertaan bagi merebut 26 pingat emas dipertandingkan.

Buat kali pertama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pesilat mereka selain ATM serta tiga badan pensendirian dan ahli gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Tiga badan berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).  

Berita Harian X