Rabu, 13 March 2019 | 10:37pm
BEKAS pemain hoki dalam dewan wanita negara, Nor Izaidah Ibrahim (tengah). - Foto Muhaizan Yahya

Bekas pemain hoki dalam dewan bimbang

KUALA LUMPUR: Bekas pemain hoki dalam dewan wanita negara, Nor Izaidah Ibrahim menyuarakan kebimbangan mengenai peluang pasukan Malaysia untuk meraih pingat pada Sukan SEA Filipina apabila menyaksikan terlalu ramai pemain muda diketengahkan kali ini.

Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, namun Izaidah, 28, beranggapan dengan tempoh singkat dimiliki tidak sepatutnya pengendali baharu negara, Yahya Atan mengamalkan dasar 'tangkap muat'.

Malah, dia yang beraksi buat PKS Uniten dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 turut menjadikan kesudahan nasib mereka dua tahun lalu sebagai contoh terbaik.

"Sayang ramai yang berbakat dalam acara hoki dalam dewan tak di panggil untuk pemilihan Sukan SEA tahun ini. Status ini bukan dituju untuk diri aku yang pernah beraksi sebelum ini," tulisnya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

"Aku tak main pun tiada masalah, suara aku ini lebih kepada mereka yang memang pandai bermain hoki dalam dewan yang bertanya-tanya kenapa pemain edisi lalu tidak dipanggil?.

"Aku pun tidak tahu tiba-tiba pemain yang tidak pandai dalam acara hoki dalam dewan mendapat tempat dalam pasukan kali ini?

"Sekurang-kurangnya panggil mereka untuk pemilihan. Pendapat aku hoki dalam dewan ini bukan cakap nak main terus pandai main dan terus menang emas... Dulu kami diberi masa 1 tahun pun tak cukup,banyak gila benda perlu diperbaiki," katanya.

Pendapatnya itu ada kewajarannya selepas mengambil kira kegagalan skuad wanita negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila sekadar meraih pingat gangsa meskipun awalnya diletakkan sasaran emas.

Biarpun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) belum mengeluarkan senarai rasmi 12 pemain hoki dalam dewan wanita negara, namun daripada senarai yang bocor memperlihatkan Yahya membawa rata-ratanya pemain muda berusia 18 dan 19 tahun.

Difahamkan, keputusan Yahya itu sebagai persiapan awal menghadapi Kejohanan Remaja Asia 2020 dalam usaha meraih tiket ke Piala Dunia Remaja 2021 dengan menjadikan medan Sukan SEA sebagai pentas pendedahan awal buat pemainnya.

Berikut adalah senarai 12 pelatih: Siti Rozailah Syuhada Jilon, Siti Zalia Nasir (penjaga gol); Iren Hussin, Ellya Amanina Elias, Nur Fatin Fatiah (pertahanan); Qasidah Najwa Halim, Siti Zulaika Hussin, Nur Atira Mohamad Ismail, Nur Zyazwani Zakaria, Siti Arafah Mohd Nor, Nur Syuhada Suhaimi, Nur Afiqah Syahzani Azhar (penyerang).

555 dibaca
Berita Harian X