Rabu, 13 March 2019 | 8:39pm
RATU karate negara, Syakilla Salni Jafry Krishnan. - Foto Khairull Azry Bidin

Syakilla dapat sokongan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi akur kepada desakan atlet apabila bersetuju untuk memenuhi permintaan ratu karate negara, Syakilla Salni Jafry Krishnan menjalani latihan di Latvia pula.

Keputusan itu dilihat seperti 'memberi muka' kepada Syakilla, 26, yang sebelum ini berdepan masalah berat badan sehingga memaksa Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menamatkan program latihannya di Amsterdam, Belanda.

Perkara itu disahkan Syed Saddiq hari ini dalam sidang media pengstrukturan semula Program Latihan Atlet kebangsaan.

"Selepas berkesempatan berbincang dengannya (Syakilla) semalam, dia sudah nyatakan hasrat untuk teruskan latihan di bawah Andris (Vasiljevs, bekas jurulatih negara) di Latvia," kata Syed Saddiq.

"Bagaimanapun, kita perlu mendapat persetujuan daripada jurulatih itu dulu dan andai menjadi kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyokong sepenuhnya.”

Ia bukan kali pertama Syakilla berdepan masalah berat badan. Dia terlepas beberapa kejohanan penting untuk mengumpul mata kelayakan Olimpik sejak tahun lalu sehingga menghuni ranking ke-69 kumite dunia bagi kategori 55 kilogram.

Malah, difahamkan akibat masalah berat badan terkininya yang mencecah 63 kg menjadi punca dia terlepas dua kejohanan K1 di Qatar dan Siri A di Austria, baru-baru ini.

"Kami perlu memberi perhatian yang secukupnya kepada Syakilla kerana dia adalah aset terbesar negara dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sebelum ini dia pernah meminta untuk menjalani latihan di bawah bekas jurulatih negara, Andris, namun rentetan beberapa masalah yang terjadi menyebabkan keinginannya itu gagal ditunaikan,” katanya.

Berita Harian X