Isnin, 11 March 2019 | 6:43pm

Poland sah sertai Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR: Saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 dihangatkan dengan penyertaan pasukan ranking ke-21 dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Poland.

Kejohanan hoki itu akan disertai enam negara termasuk tuan rumah Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia. Selain Poland (21), kejohanan itu turut disertai India (5), Kanada (10), Korea Selatan (17) dan Jepun (18).

Kehadiran Poland adalah bagi menggantikan Afrika Selatan (16) yang menarik diri gara-gara masalah kewangan.

"Saya gembira apabila Poland mengesahkan penyertaan mereka untuk Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah nanti," kata Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala hari ini.

"Kehadiran Poland menjadikan enam pasukan bertanding untuk kejohanan ini, jadi kita tidak ada masalah daripada segi jadual perlawanan.

Semalam, media melaporkan Malaysia, selaku penganjur mengharapkan Poland dapat mengesahkan penyertaan sebelum Jumaat ini bagi mengelak kejohanan diteruskan dengan hanya lima pasukan.

"Kejohanan di Perak ini adalah sebagai sebahagian daripada persiapan kelayakan Olimpik pasukan kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, pasukan negara muncul naib juara sebanyak lima kali pada tahun 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

264 dibaca
Berita Harian X