Sabtu, 9 March 2019 | 8:52pm
Syakilla diarahkan pulang lebih awal ke tanah air daripada 'perguruan' di Amsterdam, Belanda. - Arkib NSTP

MAKAF arah Syakilla pulang awal

KUALA LUMPUR: Belum sempat reputasinya dipulihkan, ratu karate negara Syakilla Salni Jefry Krisnan mencetus satu lagi kontroversi apabila diarahkan pulang lebih awal ke tanah air daripada 'perguruan' di Amsterdam, Belanda.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad dalam satu sidang media selepas mesyuarat Exco dan Majlis Tertinggi MAKAF hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas bekas pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu gagal menepati janji untuk beraksi dalam dua kejohanan utama yang menawarkan mata ranking kelayakan Olimpik.

"Dia sudah pulang ke Malaysia Rabu lalu selepas diarahkan oleh kami. Keputusan ini kita buat hasil perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Nur Azmi.

"Dia gagal beraksi dalam saingan K1 Dubai dan Siri A Salzburg dengan alasan mengalami kekejangan otot sekali gus gagal menepati janji untuk memanfaatkan peluang meningkatkan ranking apabila berguru di Amsterdam."

Sebelum ini, atlet berusia 26 tahun itu pernah mencetus kontroversi apabila tidak mengikuti sesi latihan di bawah kendalian Ali Reza Souleymani kerana merasakan corak latihan diamalkan ketua jurulatih baharu negara itu tidak bersesuaian dengannya.

Atas sebab itu, dia akhirnya mendapat layanan 'istimewa' untuk dihantar menjalani latihan di Amsterdam apatah lagi harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang kali pertama mempertandingkan sukan karate.

Ditanya punca utama kepada masalah kekejangan otot dihadapi Syakilla, Azmi menjelaskan ia mungkin kerana masalah berat badan yang tidak stabil dihadapi atlet berkenaan.

"Daripada hasil perbincangan dengan pakar Institut Sukan Negara (ISN) semalam yang turut dihadiri Syakilla, mereka menjelaskan dia mempunyai masalah berat badan yang tidak stabil yang secara tak langsung menyebabkan dia kurang cergas.

"Apapun kita tunggu hingga Selasa ini kerana kita memberi peluang kepada Syakilla untuk memutuskan sama ada untuk kekal bertanding dalam acara kumite bawah 55 kilogram (kg) ataupun kembali kepada kategori asalnya 61 kg," katanya.

Andai Syakilla pilih untuk kembali kepada kategori asalnya itu bermakna peluangnya untuk melayakkan diri ke Tokyo mungkin sudah tertutup rapat kerana dia perlu bermula tanpa sebarang mata ranking.

Berita Harian X