Khamis, 7 March 2019 | 3:36pm
Penyerang prolifik hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil. - Arkib NSTP

Zidane tetap tabah beraksi tanpa Nabil

KUALA LUMPUR: Panggilan kali ini mungkin agak berbeza buat penyerang prolifik hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil.

Ini kerana, selepas bergandingan hampir 10 tahun bersama Nabil Fikri Mohd Noor, ini kali pertama dalam tempoh berkenaan menyaksikan nama pemain tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu tidak 'lekat' dalam senarai 28 pelatih skuad kebangsaan yang dinamakan Roelant Oltmans semalam.

Meskipun menganggap ketiadaan Nabil itu sebagai kehilangan besar, namun bagi Tengku, 33, dia enggan membenarkan situasi itu menjejaskan fokusnya.

"Sebenarnya situasi keluar masuk pasukan kebangsaan antara perkara lumrah yang perlu ditempuhi setiap pemain. Ia keputusan yang dibuat oleh jurulatih, jadi sebagai pemain, kami perlu menghormati keputusan jurulatih.

"Mungkin keputusan ini dibuat selepas menilai prestasi dalam Liga Hoki Malaysia 2019 dan mungkin juga demi masa depan negara," kata Tengku yang sudah mewakili negara selama 13 tahun sejak Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Tengku yang diberi nama jolokan ‘Zidane’ kerana keupayaan menggeleceknya seperti legenda bola sepak, Zinedine Zidane sejak di Piala Dunia Remaja 2005 Rotterdam turut berharap Nabil dan Azri Hassan yang turut digugurkan supaya bangkit semula.

"Memang tidak dapat dinafikan ketiadaan dia (Nabil) pastinya meninggalkan kesan kerana kami yang sudah serasi beraksi bersama begitu lama.

"Cuma saya harap dia dan Azri jangan putus asa dan cuba untuk memenangi semula tempat," kata Zidane.

Dalam senarai baharu diumumkan Oltmans menyaksikan empat pemain muda disenaraikan kali pertama antaranya Akhimullah Anuar Esook, Firdaus Rosdi, Arif Syafie Ishak dan Azrai Aizad Abu Kamal - disamping pertahanan Najmi Farizal Jazlan yang dipanggil semula selepas secara mengejut menarik diri lapan bulan lalu.

Kesemua 28 pemain itu dijadualkan melaporkan diri untuk latihan pusat di Kuantan bermula 10 Mac ini sebagai persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 23 hingga 30 Mac.

606 dibaca
Berita Harian X