Selasa, 5 March 2019 | 5:22pm
KETUA Jurulatih Hoki Kebangsaan, Roelant Oltmans. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Oltmans panggil 'Rentung', 3 rakan

KUALA LUMPUR: Pengendali Roelant Oltmans mengotakan janjinya apabila menyuntik empat tenaga muda dalam barisan 28 pelatih baharu skuad hoki kebangsaan diketuai 'budak ajaib' Akhimullah Anuar Esook.

Tiga pemain lain adalah rakan sepasukan Akhimullah yang juga penjaring terbanyak Sukan Olimpik Belia 2018 di dalam skuad Tenaga Nasional Berhad - Arif Syafie Ishak, 19; Noor Firdaus Rosdi, 19; dan Azrai Aizad Abu Kamal, 20.

Malah, pakar dari Belanda itu membuat kejutan apabila memanggil semula pertahanan UniKL, Najmi Farizal Jazlan, 24, yang menarik diri daripada kem latihan negara pada Julai tahun lalu dengan alasan fokus terhadap pengajian.

Bagi Akhimullah, 19,  yang mencipta sensasi di Buenos Aires apabila 22 jaringannya menjulang skuad remaja negara memenangi emas di temasya berkenaan, dirinya sama sekali tidak menyangka terpilih menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 23 hingga 30 Mac ini.

"Mungkin rezeki saya, kalau ikutkan memang saya tidak menjangkakan akan terpilih dan saya berjanji akan membuat yang terbaik nanti," kata Akhimullah anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu.

Dia yang dikenali sebagai 'Rentung' dalam kalangan rakan sepasukannya beraksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Hoki Malaysia 2019 yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu apabila meledak 10 gol di samping mempersembahkan teknik kawalan bola dan larian deras yang memukau pertahanan lawan.

Sebelum ini, dia juga pernah dipanggil mewakili skuad Malaysia B seawal usia 16 tahun bagi saingan Liga Hoki Australia 2016, namun gagal menyerlah gara-gara masih setahun jagung untuk beraksi di pentas antarabangsa.

"Waktu 2016 saya masih muda dan apabila beraksi di Australia saya agak terkejut dengan situasi rentak permainan tahap antarabangsa, kali ini saya sudah bersedia dan mahu berada dalam skuad kebangsaan untuk jangka masa panjang," katanya.

Namun, beberapa panggilan yang dibuat Oltmans boleh dipersoalkan terutamanya membabitkan pemain tengah Joel Van Huizen yang dilihat tidak menyinar sepanjang beraksi buat Nur Insafi yang mengakhiri kempen Liga Perdana di tangga tercorot.

Info

Senarai 28 pelatih skuad kebangsaan:

Penjaga gol: S Kumar, Hairi Abd Rahman, Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris

Pertahanan: Sukri Mutalib, Razie Abd Rahim, Syed Mohamad Syafq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali,  Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Najib Abu Hassan, Amirol Aideed Mohd Arshad, Muhammad Arif Syafie Ishak

Tengah: Marhan Mohd Jalil, Mohd Fitri Saari, Meor Muhamad Azuan Hassan, Ashran Hamsani, Joel Van Huizen

Penyerang: Azrai Aizad Abu Kamal, Haziq Samsul, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Firhan Ashari, Faizal Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Norsyafq Sumantri, Shahril Saabah, Akhimullah Anuar Esook, Noor Firdaus Rosdi

819 dibaca
Berita Harian X