Selasa, 5 March 2019 | 1:05pm
PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Nik Hariff Hassan

MHC terus beri kepercayaan pada Megat Azrafiq

 

KUALA LUMPUR: Kejayaan hebat Megat Azrafiq Termizi dalam mengemudi skuad bawah 18 tahun kebangsaan meraih emas Sukan Olimpik Belia 2018 menyaksikan dia terus mendapat kepercayaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selaku pengendali sementara skuad hoki lelaki dalam dewan negara.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata Azrafiq yang juga bekas pertahanan negara dilantik secara sementara bagi mempersiapkan skuad yang akan dibentuk bagi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Filipina, Ogos depan.

Bagi skuad wanita pula, badan induk itu beralih arah kepada khidmat bekas ketua jurulatih skuad hoki padang negara, Yahya Atan.

"Memang kita sudah berbincang perkara ini dengan kementerian terutamanya Majlis Sukan Negara (MSN), untuk skuad hoki wanita dalam dewan kita melantik Yahya Atan sebagai ketua jurulatihnya.

"untuk skuad lelaki buat masa ini kita melantik Megat Azrafiq sebagai pengendali sementara, selepas aksi kelayakan Sukan Olimpik berakhir, Muhammad Amin (Rahim) akan menjadi ketua jurulatih skuad berkenaan.

"Apapun ia bergantung terhadap keputusan kelayakan Sukan Olimpik skuad hoki dalam padang negara kerana dia adalah penolong jurulatih pasukan Malaysian Tigers," kata Subahan.

Amin sebelum ini membantu skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan kemudiannya diserap menjadi penolong jurulatih skuad senior lelaki bermula saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh 2017.

Pasukan hoki lelaki dan wanita dalam dewan negara sudah memulakan latihan di Kompleks MSN Jalan Raja Muda sejak semalam walaupun MHC sehingga kini masih belum mengumumkan senarai barisan pemainnya kedua-dua skuad berkenaan.

 

 

Berita Harian X