Khamis, 28 Februari 2019 | 7:58pm
Pemain UNIKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil (kiri) mengawal bola dari dirampas pemain MAYBANK pada perlawanan hoki separuh akhir kedua Piala TNB, pasukan UNIKL menentang pasukan MAYBANK di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

UniKL, THT berentap di final Piala TNB

 

KUALA LUMPUR: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan berentap dalam aksi final Piala TNB, Sabtu ini selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan mudah dalam aksi separuh akhir kedua.

UniKL yang juga juara Liga Perdana 2019 dan juara bertahan Piala TNB mengetepikan cabaran Maybank 5-0 dalam aksi di Stadium Tun Razak, sebentar tadi untuk mara ke final dengan agregat 9-1.

Razie Abd Rahim boleh dianggap wira pasukan berstatus universiti itu apabila meledak dua jaringan pada minit ke-30 dan 50 dengan masing-masing satu jaringan oleh Robbert Kemperman (m-35), Marhan Mohd Jalil (m-49) dan Faridzul Afiq Mohd (m-59).

"Kami beraksi dengan rentak sederhana hari ini tanpa perlu terkejar-kejar selepas mendahului Maybank 2-0 dan kemudiannya gol itu datang dengan sendirinya," kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

"Saya menjangkakan aksi final yang menarik walaupun kami terpaksa melupakan khidmat empat tonggak import dari Eropah. Dan saya percaya pemain tahu apa jangkaan yang mereka perlu capai dalam situasi hari final nanti."

Arul yang masih tidak sihat sepenuhnya berikutan demam sebelum ini terlepas aksi separuh akhir pertama Selasa lalu ketika UniKL mencatat kemenangan bergaya 4-1.

THT pula mara ke pentas final Piala TNB buat kali keenam berturut-turut mengatasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan agregat 8-3 selepas mudah menjinakkan lawannya itu 5-2 di bawah cuaca panas terik.

Semua lima gol skuad Pantai Timur itu dijaringkan pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonhyun untuk terus menjarakkan diri sebagai pendahulu penjaring terbanyak dengan 21 gol.

Gol TNB hasil sumbangan penyerang sedang meningkat, Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-10 dan Faiz Helmi Jali (m-34).

 

 

293 dibaca
Berita Harian X