Selasa, 26 Februari 2019 | 7:01pm
Atlet kumite negara diketuai Syakilla Salni Jefry Krishnan. - Foto worldkarate_wkf

MAKAF sasar Syakilla ke suku akhir di Austria

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tidak mahu meletakkan tekanan terhadap empat atlet kumite negara diketuai Syakilla Salni Jefry Krishnan yang tampil dalam kejohanan kompetitif pertama tahun ini di Kejuaraan Karate 1 (K1) Siri A Salzburg di Austria bermula Jumaat ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya hanya menetapkan sasaran ke suku akhir bagi Syakilla manakala baki tiga lagi atlet perlu sekurang-kurangnya mara ke pusingan ketiga.

Tiga atlet berkenaan adalah Prem Kumar yang akan bertanding dalam acara kumite lelaki -55kg, Somanroy M Arulveeran (lelaki +84kg) dan P Madhuri (-50kg) dengan mereka sudah bertolak ke Eropah semalam bagi menyertai Syakilla yang kini 'berguru' di Belanda.

"Kebiasaannya kita hanya hantar Syakilla pergi kejohanan sebegini sebab dia mempunyai ranking dunia yang baik, tetapi untuk kali ini Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menghantar empat atlet.

"Dan untuk kejohanan Siri A akan datang kita akan cuba menghantar penyertaan enam atlet dengan baki lagi dua atlet kami akan tanggung sendiri," kata Azmi.

Malah, Azmi percaya Salzburg yang menjadi tuan rumah satu daripada empat kejohanan Siri A adalah medan terbaik untuk keempat-empat atlet itu meningkatkan ranking dunia.

"Siri A menjadi antara kejohanan menawarkan mata ranking dunia, jadi adalah penting untuk atlet kita mengutip sebanyak mungkin mata untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi melayakkan diri beraksi di Liga Perdana K1.

"Ini kerana dengan beraksi di kejohanan berkenaan, ia dapat mencerahkan peluang mereka merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Azmi.

Untuk menempah tiket ke Tokyo, Syakilla bersama rakan sepasukannya perlu memastikan mereka menempatkan diri dalam kelompok 50 terbaik dunia sebelum berakhir tempoh pengiraan mata ranking ke Olimpik pada April 2020.

Ketika ini Syakilla muncul atlet ranking terbaik di kedudukan ke-58 dunia, Madhuri (93) manakala Prem dan Somanroy bagi kategori lelaki masing-masing di kedudukan ke-123 dan 165 dunia.

Berita Harian X