Ahad, 24 Februari 2019 | 7:43pm
Megat Zulkarnain mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Kuantan. - NSTP/Asrol Awang

756 pesilat sertai kejohanan kebangsaan di Pahang

KUANTAN: Seramai 756 pesilat daripada 21 kontinjen mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini pada 26 hingga 30 Mac ini.

Buat kali pertama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pesilat mereka selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tiga badan pensendirian dan ahli gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) .

Tiga badan berkenaan ialah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pada kejohanan kali ini, pihaknya memutuskan tidak membenarkan penyertaan pesilat negara

Katanya, keputusan itu untuk memberi peluang pesilat baharu mempamerkan ketangkasan, sekali gus berpeluang mewakili negara selepas ini.

"Pada kejohanan ini, setiap pesilat yang muncul johan dalam setiap kategori dipertandingkan akan berentap dengan pesilat negara pada kejohanan yang akan ditetapkan nanti. Pada aksi itu nanti, kita akan dapat menilai kemampuan pesilat baharu sama ada mereka boleh mewakili negara bagi menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua PESAKA Pahang, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah dan Setiausaha Agung PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok.

Kejohanan selama lima hari itu dianjurkan PESAKA, Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) dan Kerajaan Pahang.

Setakat ini, sebanyak 14 kontinjen negeri mengesahkan penyertaan termasuk Labuan dan Putrajaya.

Berita Harian X