Jumaat, 22 Februari 2019 | 1:52am
ATLET berbasikal Paralimpik, Mohamad Syazwan Roshdi ditemui merempat di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ). - Foto Owee Ah Chun.

Rizal terserempak Syazwan hidup merempat

BANGI: Pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN Ke-9, Mohamad Syazwan Roshdi, kini dipercayai hidup 'merempat' apabila dia ditemui menumpang di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Bekas pelumba basikal negara, Rizal Tisin, berkata dia terserempak Syazwan secara tak sengaja di situ ketika singgah untuk solat Isyak malam tadi. 

Menurut Rizal beliau difahamkan Syazwan sudah tiga malam tidur di surau CIQ berkenaan selepas pelumba basikal kelaian upaya (OKU) berkenaan mendakwa ditipu seorang kenalan yang kononnya mahu membantunya mendapatkan pekerjaan di Singapura selepas dia tidak menerima surat tawaran semula untuk menjadi atlet sepenuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini. 

"Salam semua, maaf spam timeline kawan2 kat sini. Saya ada story sikit kat sini nak coret buat tatapan kita semua. Tadi ketika di surau JB CIQ lepas Isya saya ditegur seorang pemuda OKU. Tengok punya tengok laa si Syazwan bekas atlet berbasikal Para Malaysia C3. 

"Cerita dia, si Syazwan ni da 3 hari tidur kat surau JB CIQ tu sebab sudah kena kencing dengan kawan dia dari Singapore kata nak tolong cari kerja kat sana. 

"Si Wan (Shazwan) ni ulang alik tiga hari gigih nak gak cari kerja kat sana sebab dah janji dengan mak dia yang dia nak pergi kerja kat sana," katanya dalam entri Facebooknya lewat malam tadi. 

Menurut Rizal, beliau difahamkan Syazwan juga terpaksa mengikat perut dan tidak makan atau mandi sepanjang tinggal di situ kerana kehabisan wang selepas menjadi mangsa penipuan seorang kenalan yang meminjam wangnya tetapi gagal membayarnya.

 

9279 dibaca
Berita Harian X