Khamis, 14 Februari 2019 | 9:44pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim. - Arkib NSTP

KBS prihatin masa depan atlet

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia bekerjasama dengan universiti swasta bagi memastikan atlet kebangsaan mempunyai peluang melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang akademik ataupun kemahiran.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menjelaskan hasil perbincangan bersama HELP University, keputusan positif berjaya dicapai bagi meluaskan kerjasama terutamanya dalam pembangunan belia dan sukan.

"Hari ini lawatan saya ke HELP University kampus Damansara ini bertujuan untuk perbincangan awal mengenai kerjasama dengan universiti ini dalam sektor belia dan sukan.

"Saya percaya HELP University yang mempunyai pengalaman 33 tahun dalam bidang pendidikan mampu memberikan nilai tambah kepada KBS melalui beberapa program yang akan dilaksanakan.

"HELP juga menawarkan kepakaran psikologi untuk program Sekolah Pemimpin Masa Depan Malaysia (Malaysia Future Leaders School) yang menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)," kata Sim di sini hari ini.

Perjumpaan yang berlangsung di universiti berkenaan turut dihadiri Naib Canselor dan Presiden Pengasas Bersama, Prof Datuk Dr Pault T.H. Chan selain wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Mengulas lanjut, Sim menjelaskan HELP University yang kini mempunyai program buat atlet turut menyatakan hasrat untuk meluaskan lagi program biasiswa kepada atlet kebangsaan.

Sim dalam masa sama berharap agar HELP University dapat memberikan perhatian bukan saja dalam sektor pendidikan dan latihan kepada atlet biasa, tetapi turut merangkumi atlet para.

"Pihak universiti bersetuju mempunyai program khas contohnya memberikan biasiswa kepada atlet para untuk menyambung pelajaran, sama ada program akademik contohnya ijazah ataupun program-program latihan kemahiran. Itu kita akan membuat perincian dalam masa terdekat. 

"Contohnya pada masa kini di dalam kampus HELP di Malaysia, ada 10 atlet kebangsaan yang memegang biasiswa dari universiti ini. Ada lebih kurang 15 atlet negeri, jadi hari ini mereka menyatakan hasrat untuk meluaskan lagi program biasiswa kepada atlet negara. 

"Ini kerana apa yang atlet perlukan menjangkaui wang ringgit. Kita nak menjadikan kerjaya atlet ini lebih bermakna dan menyediakan atlet kehidupan selepas persaraan, antaranya pendidikan," katanya.

Berita Harian X