Selasa, 12 Februari 2019 | 9:30pm
Pemain TLHT (dua kiri) di asak oleh pemain PKS-UNITEN pada kejohanan Vivian May Soars Cup 2019 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hoki Piala Vivian: Liaoning kejutkan Blue Warriors

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Blue Warriors berdepan halangan sukar untuk mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu apabila tewas 2-1 kepada pasukan jemputan dari China, Liaoning Infinite Space dalam aksi separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars di Stadium Tengku Abdullah, sebentar tadi.

Penyerang Liaoning, Chen Yiming muncul watak pemusnah Blue Warriors apabila dua kali menggegar gawang dikawal penjaga gol kebangsaan Farah Ayuni Yahya masing-masing pada minit kedua dan ke-14.

Bagaimanapun, jaringan menerusi pukulan sudut penalti bekas kapten skuad negara, Nadia Abdul Rahman enam minit bersambung babak kedua memastikan peluang masih terbuka luas buat skuad kendalian Zulkhairi Ariffin itu.

Bagi Zulkhairi, biarpun kecundang. dia tetap percaya peluang pasukannya masih ada apatah lagi aksi separuh akhir kedua pada Khamis ini akan diadakan di Stadium Tun Razak yang dianggap membawa tuah kepada pasukannya.

"Memang saya lega dengan jaringan dihasilkan Nadia, sekurang-kurangnya ia menghidupkan semula peluang kami apabila beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua di gelanggang keramat kami nanti.

"Dalam aksi tadi, pemain saya agak terkejut dengan jaringan awal Liaoning tetapi secara keseluruhannya mereka beraksi baik. Malah jika tidak kerana bola percubaan set-piece pukulan sudut penalti Fazilla (Sylvester Silin) terkena tiang gol mungkin perlawanan berakhir dengan keputusan berbeza," katanya.

Sementara itu, juara baharu Liga Hoki Wanita Malaysia (2019) Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menjinakkan PKS Uniten 4-2 di Stadium Tun Razak.

Lebih menarik tiga daripada empat gol itu dihasilkan dalam tempoh lapan minit terakhir perlawanan masing-masing menerusi jaringan Man Meet Kaur (m-52) , Siti Rahmah Othman (m-54) dan Siti Noor Amarina Ruhani (m-60) dengan Rahmah turut menjadi penyumbang gol awal TLHT.

Gol bagi PKS Uniten pula dijaringkan oleh Hanis Nadiah Onn (m-8) dan Nur Zafirah Aziz (m-50).

297 dibaca
Berita Harian X