Selasa, 12 Februari 2019 | 9:16pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (OCM) ke-10 di Wisma OCM, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Tiada atlet `tangkap muat' ke Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memastikan tiada amalan `tangkap muat’ dalam proses pemilihan atlet negara yang akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Filipina pada November ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata tindakan itu perlu kerana pihaknya sudah serik dengan pengalaman pada beberapa temasya sukan lalu sehingga menimbulkan kesan tidak baik.

"Kami hanya ingin hantar kontinjen dengan atlet yang membawa imej negara dan bukan lagi ambil tangkap muat. Kami sudah belajar daripada pengalaman lalu (seperti Sukan Asia Jakarta-Palembang 2017 )," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM, di sini hari ini.

"Persatuan sukan kebangsaan berkenaan perlu maklumkan atlet-atlet mereka bahawa KPI (indeks prestasi utama) ke Sukan SEA ialah empat teratas bagi Kategori A (dibiayai MOM) dan lapan teratas untuk Kategori B (perbelanjaan sendiri),”.

Dalam pada itu,Mohamad Norza berkata atlet-atlet dari sukan yang tiada persatuan kebangsaan atau persatuan itu bukannya ahli gabungan MOM, masih berpeluang menyertai Sukan SEA 2019.

Katanya, atlet atau persatuan terbabit bagaimanapun perlu menyatakan minat mereka kepada MOM, selain memenuhi kriteria jawatankuasa pemilihan yang dianggotai beliau sendiri serta wakil dari Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

“Kita akan kumpul minat mereka dan akan membincangkan apabila tiba masanya,” katanya.

Antara sukan yang tidak ada persatuan atau bukan ahli gabungan MOM ialah sambo, kurash, hoki bawah air, obstacles course, sukan elektronik, kickboxing serta jujitsu.

"Tarikh tutup penghantaran senarai panjang sukan yang disertai negara-negara peserta kepada Phisgoc (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina) ialah Julai ini dan bagi senarai nama atlet ialah September," katanya.

Mohamad Norza turut mengesahkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) akan mengadakan mesyuarat majlis pada April ini bagi menentukan nasib 56 jenis sukan pada temasya itu.

Mengenai calon timbalan ketua kontinjen ke Sukan SEA Filipina, beliau berkata ia masih dalam pertimbangan Naib Presiden, Tan Sri Mohd Noor Rahim yang akan mengambil kira sama ada untuk melantik seorang atau dua penyandangnya.

154 dibaca
Berita Harian X