Selasa, 12 Februari 2019 | 4:21pm
PENGARAH Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh (dua dari kanan) mengesahkan akan meninggalkan badan induk itu sebaik kontraknya berakhir hujung bulan depan. - Foto Ihsan MHC

Walsh tak sambung kontrak

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh mengesahkan akan meninggalkan badan induk itu sebaik kontraknya berakhir hujung bulan depan.

Pengumuman itu dibuatnya dalam satu sidang media khas di ibu pejabat badan induk itu, hari ini yang turut dihadiri presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Selepas lebih tiga tahun bertindak selaku pengarah teknikal MHC saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan dan sudah memaklumkan kepada badan induk berkenaan.

"Saya membuat keputusan ini selepas memikirkan sebaiknya dan saya percaya sepanjang tempoh ini banyak kemajuan ditunjukkan pasukan negara sebelum dua kejohanan terakhir.

"Saya akan terus bekerja dengan MHC sehingga hujung Mac nanti dan akan pulang ke Perth, Asutralia selepas itu untuk menikmati masa bersama keluarga.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden MHC untuk sokongan yang diberikan dan tidak lupa juga kepada semua kakitangan MHC," katanya.

Walsh mula bertindak sebagai pengarah teknikal MHC pada Oktober 2015 hanya selepas kepimpinan baharu diterajui Subahan mengambil alih badan induk itu.

Masa depan Walsh mula menjadi perdebatan sejak Roelant Oltmans dilantik selaku ketua jurulatih skuad lelaki Oktober tahun lalu menggantikan Stephen Van Huizen.

Namun, prestasi buruk skuad hoki lelaki negara terutamanya di Piala Dunia 2018 menjadi kemuncak nasibnya selain faktor terlepas pingat emas Sukan Asia 2018 yang menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Subahan akur dengan keputusan Walsh sambil tidak menolak faktor kewangan menjadi antara punca kerjasama Walsh di MHC berakhir.

"Saya tidak kata kita mengalami masalah kewangan tetapi ia lebih kepada usaha kita berbelanja mengikut jumlah yang disalurkan.

Pada masa sama, Subahan juga menegaskan beliau masih belum memikirkan mengenai keperluan untuk terus mengekalkan jawatan berkenaan dan hanya akan memutuskannya selepas berakhir saingan Siri Final Hoki di Kuala Lumpur, April depan.

342 dibaca
Berita Harian X