Selasa, 12 Februari 2019 | 10:46am
PEMAIN nombor satu dunia, Naomi Osaka (kanan) tidak lagi bekerjasama dengan jurulatihnya, Sascha Bajin. - Foto Reuters

Osaka henti khidmat jurulatih Bajin

TOKYO: Pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka memilih untuk berpisah dengan jurulatihnya, Sascha Bajin hanya seminggu selepas memenangi gelaran Terbuka Australia, kata pemain Jepun itu hari ini.

"Hai semua orang, saya tidak lagi akan bekerjasama dengan Sascha. Saya ingin berterima kasih atas kerja hebatnya dan mengucapkan selamat maju jaya buatnya," katanya menerusi muat naik ciapan Twitter miliknya.

Bajin, yang juga bekas rakan gandingan Serena Williams membalas: "Terima kasih Naomi. Saya mendoakan anda yang terbaik. Ia suatu perjalanan yang hebat. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripadanya."

Osaka, yang muncul pemain pertama Asia yang menyambar ranking teratas dunia selepas menewaskan pemain Republic Czech, Petra Kvitova dalam aksi final di Melbourne, sempat bekerjasama dengan bekas pemain Jerman itu hanya untuk setahun lebih.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mendedahkan alasan mengapa mereka memilih untuk membawa haluan sendiri.

Bintang tenis Jepun itu menyambar gelaran Grand Slam sulungnya pada tahun lalu apabila menewaskan Serena di final Terbuka Amerika Syarikat yang terus diingati gara-gara tindakannya memaki pengadil perlawanan.

Berpangkalan di AS, Osaka mula bekerjasama dengan Bajin pada hujung 2017 dan menikmati peningkatan prestasi, memanjat daripada tangga ke-72 hingga ke persada ranking dunia ketika ini. - AFP

838 dibaca
Berita Harian X