Selasa, 12 Februari 2019 | 10:22am
PHIL Mickelson. - Foto AFP

Mickelson juarai Jelajah PGA Pebble Beach

SAN FRANCISCO: Phil Mickelson merangkul gelaran Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am dengan kelebihan tiga pukulan, pagi tadi untuk menyamai rekod pemenang lima kali Mark O'Meara.

Mickelson merekodkan kemenangan ke-44 Jelajah PGA itu dengan penuh bergaya apabila mencatat tujuh di bawah par 65.

"Ini adalah tempat yang istimewa bagi saya, jika menelusuri sejarah datuk saya adalah kedi di sini pada 1919," kata pemain berusia 48 tahun itu yang muncul pemenang tertua saingan Pebble Beach.

"Ini juga adalah kejohanan sulung saya apabila bermula menjadi pro. Menang di sini minggu ini adalah sesuatu yang membanggakan."

Mickelson menamatkan keseluruan aksi dengan mencatat 19 di bawah par 268 manakala pencabar dari England, Paul Casey (71) yang menghasilkan birdie di lubang terakhir berpuas hati di kedudukan kedua dengan 16 di bawah par.

Mickelson dan Casey menjadi pemain yang tidak sempat melengkapkan aksi pusingan keempat semalam gara-gara cuaca buruk di sebelah petang.

Casey menyambung semula aksi dengan catatan par pada lubang ke-16 manakala Mickelson sudah melengkapkan pukulan di lubang terbabit.

Kedua-dua mereka mencatat par di lubang ke-17 dan kemudiannya merakam birdie pada lubang ke-18 untuk kemenangan memihak kepada Mickelson.

"Ia begitu bermakna untuk saya berjaya mengekalkan fokus dalam pusingan akhir," kata Mickelson.

Mickelson pada awalnya semalam enggan menangguh permainan dan sedia beraksi di dalam keadaan gelap, namun dibiarkan kecewa apabila Casey enggan meneruskan aksi dan kini dia faham mengapa pemain England itu berbuat demikian.

"Saya ingin berterima kasih kepada Paul pagi ini kerana kadang kala saya gagal melihat dalam skop yang lebih besar," kata Mickelson.

"Dia mahu melindungi kami berdua. Keadaan green tidak sesuai untuk diteruskan aksi semalam. Hari ini kami dapat beraksi dalam keadaan green yang lebih segar, cuaca yang lebih baik dan jarak penglihatan lebih bagus." - AFP

117 dibaca
Berita Harian X