Isnin, 11 Februari 2019 | 10:26pm
Pelumba TSC yang bakal membawa cabaran pada saingan LTdL 2019. - Foto ihsan TSC

'Banyak masalah jika LTdL 2019 ditunda'

KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) yang dijadual pada 24 hingga 31 Mac ini tidak patut ditunda ke tarikh lain kerana ia akan mendatangkan banyak masalah kepada semua pasukan lumba khususnya sudah membuat pengesahan awal.

Sehubungan itu, Pengurus Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahit berharap khabar angin mengenai cadangan penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd menunda perlumbaan itu ke tarikh baharu tidak berlaku.

Katanya, kebanyakan pasukan berminat termasuk TSC sendiri sudah lama membuat persiapan dari segi latihan dan logistik selain mengambil pelumba baharu untuk menyertai siri perlumbaan jelajah terbesar di Asia berkenaan.

"Saya berharap LTdL 2019 dapat diteruskan mengikut jadual kerana kami sudah lama membuat persiapan masing-masing, selain terpaksa menolak jemputan menyertai perlumbaan lain.

"Buat masa ini kami tunggu dan lihat. Kami juga tidak boleh lagi mengumumkan senarai pelumba TSC yang bakal menyertai LTdL 2019 kerana banyak khabar angin tersebar termasuk kemungkinan tiada laluan mendaki di Genting Highlands," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Sayuti berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama dan prestasi ditunjukkan oleh pelumba bersama TSC termasuk dari luar ketika beraksi di Jelajah Herald Sun di Melbourne, Australia, akhir bulan lalu.

"Kita menjadikan siri jelajah Herald Sun sebagai medan untuk menguji kemampuan dan prestasi sebenar barisan pelumba-pelumba tempatan dan asing yang baharu mengikat kontrak bersama TSC mulai musim ini,” katanya.

Pada tahun ini TSC mengambil tiga pelumba import iaitu Raileanu Cristian (Maldova) selain dua bekas pelumba St George Continental Cycling Team (STG) iaitu Benjamin Dyball dan Marcus Culey (Australia).

416 dibaca
Berita Harian X