Isnin, 11 Februari 2019 | 9:47pm
Noorul Ariffin (tiga dari kanan) dan Ahmad Shapawi (dua dari kanan) bersama wakil YAKEB mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq (tiga dari kiri) di Putrajaya, hari ini. - Foto iihsan YAKEB

KBS setuju bantu YAKEB

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 ahli berdaftar Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kini mampu menarik nafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju membantu memelihara kebajikan mereka.

Ahli Lembaga Pengarah Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin berkata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah bersetuju menerima permintaan pihaknya yang merangkumi aspek kesihatan dan kebajikan.

"Menteri bersetuju untuk kerajaan memberikan rawatan khas dan kelas dua untuk bekas-bekas atlet. Keprihatan dan sokongan kerajaan ini secara tak langsung dapat menyuntik semangat termasuk buat atlet kebangsaan.

“Ia sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin dan usaha atlet kebangsaan tidak sia-sia selepas tidak lagi bergelar atlet," katanya kepada BH Sukan selepas pertemuan YAKEB bersama Syed Saddiq di Putrajaya, hari ini.


Noorul Ariffin (tiga dari kanan) dan Ahmad Shapawi (dua dari kanan) bersama wakil YAKEB mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq (tiga dari kiri) di Putrajaya, hari ini. - Foto iihsan YAKEB

Pertemuan itu turut dihadiri bekas atlet kebangsaan yang juga Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Noraseela Mohd Khalid dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam perkembangan lain, Noorul berharap agar pelantikan pengerusi baharu YAKEB dapat dipercepatkan bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

"Saya harap agar pengerusi baharu nanti daripada bekas atlet sendiri dan dapat dilantik secepat mungkin. Pencarian akan dilakukan oleh KBS sendiri," katanya.

Sebagai rekod, jawatan tertinggi badan induk itu sudah dikosongkan bekas jaguh skuasy negara, Azlan Iskandar sejak pertengahan Oktober, tahun lalu.

Sementara itu, Noorul berkata YAKEB ketika ini sedang berusaha melaksanakan Program Tabung Wira Sukan Negara dengan kerjasama bersama syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia bagi membolehkan badan itu mencari dana sendiri agar tidak membebankan pihak kerajaan selain memanfaatkan semua pihak.

250 dibaca
Berita Harian X