Isnin, 11 Februari 2019 | 9:14pm
GAMBAR fail, pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang ketika acara Sprint 200m Lelaki Elite di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ATC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Eizairi Shamsudin

Azizulhasni sedia rampas kembali gelaran raja keirin

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal kebangsaan, Azizulhasni Awang kini berada di landasan terbaik untuk merampas gelaran raja keirin dunia menerusi penyertaan pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 di Pruszkow, Poland pada 27 Februari hingga 3 Mac ini.

Minggu lalu, pelumba berasal dari Dungun Terengganu yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menduduki tempat kedua dalam acara keirin selain memenangi dua kali acara pecut individu di siri perlumbaan Six Days di Melbourne, Australia,

"Syukur pretasi saya di kejohanan Six Days di Melbourne amat memberangsangkan. Pada saya perlumbaan berkenaan sebagai medan ujian atau pemanas badan untuk menghadapi Kejohanan Dunia nanti.

"Berdasarkan pencapaian berkenaan, saya berasakan kini berada di landasan betul untuk menghadapi saingan itu. Saya meletakkan sasaran untuk ke final acara keirin. Jika berjaya, Insya-Allah, saya boleh menang podium," katanya ketika dihubungi wartawan BH Sukan di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Azizulhasni menegaskan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memecahkan catatan masa peribadi terbaik dalam acara pecut individu lelaki di Kejohanan Dunia nanti.

"Untuk acara pecut pula, saya nak cuba pecahkan rekod peribadi terlebih dahulu. Jika berjaya Insya- Allah boleh bersaing sekurang-kurang sehingga ke peringkat separuh akhir acara pecut individu," katanya.

Azizulhasni sebelum ini gagal mempertahankan gelaran raja keirin pada Kejohanan Dunia 2018 di Apeldoorn, Belanda, selepas terkandas pusingan repechage akibat terkena serang virus dan mengalami batuk yang teruk.

353 dibaca
Berita Harian X