Isnin, 11 Februari 2019 | 7:32pm
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SIC anjur World Touring Car

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memberi tumpuan kepada acara World Touring Car (WTC) sebagai ganti kepada perlumbaan Formula Satu (F1) yang ditamatkan dua tahun lalu.

Litar sepanjang 5.543 kilometer itu dijadual menjadi lokasi untuk pusingan terakhir dalam kalendar WTC 2019 pada awal Disember ini dengan kemungkinan besar disertai pemandu negara yang juga naib juara kejuaraan Touring Car Asia, Mitchell Cheah atas tiket wild card.

"Kami ingin mengikuti jejak seperti dilakukan untuk MotoGP," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

"Tujuan utama program dua roda kami adalah untuk mempromosikan MotoGP dengan lebih baik dan kita dapat lihat hasilnya.

"Dengan adanya program baharu untuk gantikan F1 iaitu WTC, kami akan memberi fokus kepada program yang berkait rapat dengan WTC iaitu seperti Touring Car Malaysia, Touring Car Asia yang program itu kita mulakan sejak tahun lalu lagi.

"Kita meletakkan Mitchell Cheah ke TCR Asia. Dia adalah juara Asia Tenggara TCR dan naib juara TCR Asia. Tahun ini, kami akan meletakkannya di TCR Jerman supaya dia dapat bersedia sebagai pemandu wild card di Sepang nanti.

"Jadi, kami akan fokus kepada program yang berkait rapat dengan acara kejuaraan dunia (yang akan dianjurkan di Sepang)."

Sebelum ini, penyertaan trio negara iaitu Nabil Jeffri, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) tidak disambung meskipun hanya berbaki tiga perlumbaan.

Justeru, SIC terpaksa membuat pilihan tepat antara menganjurkan WTC ataupun terus menaja tiga pemandu ini di WEC.

"Bagi kami, keputusan strategik ini adalah untuk kami gunakan bajet sedia ada kepada (menganjurkan) acara baharu pada tahun ini iaitu kejuaraan World Touring Car yang akan memberi manfaat kepada negara daripada segi pelancongan dan lain-lain,” kata Razlan.

"Pada pertengahan tahun, mereka menunjukkan bakat. Memang kecewa. Namun kita patut bangga dan kita sudah menunjukkan kebolehan pemandu kita. Namun atas sebab tertentu kita tak dapat tamatkannya.

“Bagi saya, mereka sudah sampai ke satu tahap yang sepatutnya di kejuaraan dunia dengan kemenangan yang diraih. Saya yakin mereka akan dapat tawaran daripada pasukan lain. Kalau bukan tahun ini, mungkin tahun depan.

"Bagi saya, kami sudah melakukan yang terbaik untuk mereka," kata Razlan.

149 dibaca
Berita Harian X